Musa Aman bukan lagi Ketua Menteri Sabah – Istana Negeri
Istana Negeri Sabah hari ini menyerahkan surat pemberitahuan bahawa Tan Sri Musa Aman bukan lagi ketua menteri negeri berkenaan.
Surat itu diserahkan Setiausaha Sulit Yang di-Pertua (YDP) Negeri Sabah, Abinan Asli kepada Setiausaha Sulit Musa, Effendy Sunoh di Restoran BTC Inanam, jam 11.34 pagi tadi.
“Kandungan surat mengatakan Musa yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah bukan lagi ketua menteri,” katanya ketika ditemui pemberita.
Terdahulu, Abinan dan beberapa pegawai istana diiringi anggota polis tiba di luar kediaman Musa di Luyang untuk menyampaikan surat berkenaan namun tidak dapat memasuki kediaman tersebut.
Difahamkan, surat itu diserahkan di restoran berkenaan kerana kebetulan Effendi sedang minum di premis berkenaan.
Sementara itu, Musa dipercayai sudah berlepas ke Kuala Lumpur dengan penerbangan Malindo Air pada jam 9 pagi tadi.
10 Mei lalu, Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri buat penggal ke-5 di depan YDP Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri.
Manakala pada 12 Mei, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal pula mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.
Shafie sebelum ini dikatakan mendapat perkenan daripada YDP Sabah untuk mengangkat sumpah sebagai ketua menteri selepas mendapat majoriti mencukupi bagi menubuhkan kerajaan.
Bagaimanapun, Musa, Khamis lalu menegaskan beliau masih belum meletakkan jawatannya itu.