Jangan terima ahli Umno untuk 3 tahun – Santiago
Seorang wakil rakyat DAP berkata, rakyat mungkin hilang keyakinan terhadap Pakatan Harapan (PH), jika parti komponennya menerima bekas ahli Umno dan Barisan Nasional (BN).
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata sedemikian selepas Pengerusi PH dan PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata parti itu mempertimbangkan untuk menerima ahli Umno dengan beberapa syarat.
“Kita tentukan mereka boleh menyertai parti kita setelah mereka isytihar keluar dari Umno, jadi bebas dan menyatakan pendirian mereka terhadap PH, barulah kita boleh pertimbang kemasukan mereka,” katanya hari ini.
Tetapi, Santiago berkata, rakyat mengundi PH yang bebas daripada unsur Umno dan ada ramai yang ingin menyertai PH dengan harapan mereka dapat melakukan “apa yang mereka biasa lakukan” dalam Umno.
“Nampaknya Dr Mahathir melonggarkan syaratnya sendiri, tetapi kita harus kekalkan semangat yang disokong rakyat,” katanya kepada FMT.
Pada 16 Mei lalu, Dr Mahathir berkata, PH tidak akan menerima ahli daripada parti yang kalah dalam PRU14 kerana rakyat tidak mahu ahli politik kerajaan lama mempengaruhi kerajaan baru.
Santiago mengingatkan semua parti PH yang rakyat mengundi untuk integriti, ketelusan dan akauntabiliti.
“Ada perkara yang tiada dalam pentadbiran sebelum ini dan menerima mereka daripada pentabdiran itu dalam PH mungkin tidak baik untuk kami dan membuatkan rakyat hilang keyakinan.
“Jika mereka benar-benar mahu menyertai PH, mereka harus tunggu sekurang-kurangnya 3 tahun untuk menunjukkan keikhlasan mereka. Rakyat sedang memerhatikan kita, jika kita ambil mudah, mereka akha mula meragui kita.”
Thomas Fann, pengerusi Engage, sebuah badan bukan kerajaan yang sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap mereka yang suka lompat parti berkata, pada pilihan raya 9 Mei lalu, pengundi menolak “politik toksik Umno”.
“Kita tidak mahu jenis politik ini diimport ke PH menerusi PPBM, kerana jika tidak, budaya toksik ini akan menjadi sebahagian daripada PH.
“Keluar dari BN, kemudian jadi bebas sebelum menyertai PH serta-merta tidak mengubah situasi itu,” katanya sambil menambah tindakan itu sama dengan perbuatan melompat parti.
Katanya, ini sebabnya PH harus melaksanakan penangguhan selama 2 tahun untuk menerima bekas ahli dan wakil rakyat BN, walaupun mereka boleh menjadi wakil rakyat bebas mesra PH.