Warisan setuju kerjasama dengan DAP tanding kerusi di Sabah
DAP Sabah mengumumkan kumpulan pertama calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang selepas selesai mengadakan rundingan kerusi dengan Parti Warisan Sabah (WARISAN).
Mereka ialah Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin bagi kerusi Parlimen Kota Kinabalu, Setiausaha Publisiti DAP, Sabah Phoong Jin Zhe bagi kerusi DUN Luyang dan Penolong Setiausaha, DAP Sabah Tan Lee Fatt untuk kerusi DUN Likas.
Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa rundingan kerusi dengan WARISAN telah selesai.
Ditanya sama ada bekas ADUN Likas Junz Wong, yang juga naib presiden WARISAN telah mengosongkan kerusinya untuk DAP, Stephen berkata:
“Dalam rundingan kerusi dengan WARISAN, Likas adalah kerusi DAP. Tidak relevan (dikatakan) bahawa Junz mengosongkan kerusi untuk kami.”
Junz memenangi kerusi itu atas kapasiti sebagai pemimpin DAP pada pilihan raya umum lalu sebelum meninggalkan parti itu untuk menyertai WARISAN pada Oktober 2016.
Sementara itu, Junz mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan kerusinya.
Bagaimanapun, beliau tidak pasti sama ada akan dipilih sebagai calon WARISAN di kerusi DUN Tanjung Kapor atau Tanjong Aru.
“Kedua-duanya mungkin tetapi saya sedang mempertimbangkan beberapa faktor sebelum memutuskan dalam masa beberapa hari,” katanya.