Orang Cina tidak yakin ekonomi Malaysia
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menerusi satu kajian bulan lalu mendapati orang Cina paling tidak yakin dengan ekonomi negara berbanding kaum lain.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Yazid Othman berkata ia berpunca daripada pasaran buruh kurang penawaran berbanding permintaan tinggi yang menyukarkan rakyat mendapat pekerjaan.
Katanya, indeks harga pengguna (IHP) juga meningkat 1.4 % kepada 121.3 pada Februari lalu berbanding 119.6 pada Februari 2017.
“Peningkatan IHP menyebabkan rakyat tidak yakin berbelanja. Ini juga selari laporan dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MTEM hari ini.
Kajian suku pertama 2018 yang dijalankan MTEM bersama Kajidata Research Sendirian Berhad mulai 7 Mac hingga 25 Mac itu, bertujuan menilai keyakinan ekonomi rakyat dalam konteks perbelanjaan, pekerjaan, kekuatan kewangan dan ekonomi negara.
MTEM berkata, seramai 1,487 responden dari seluruh negara terlibat dalam kajian itu yang menunjukkan skor keseluruhan 30 mata dan meningkat 1.4 mata berbanding skor keseluruhan pada suku ke-4 2017.
Yazid berkata, harga rumah yang tinggi juga satu lagi faktor orang Cina kurang yakin terhadap ekonomi Malaysia.
Katanya, secara keseluruhan responden menganggap kemampuan berbelanja dan meningkatkan pendapatan berdasarkan keadaan ekonomi negara, sangat lemah.
“Rakyat Malaysia terus mengharapkan keadaan ekonomi baik dalam 3 bulan akan datang.
“Bumiputera merasakan kuasa beli mereka paling lemah, tetapi Bumiputera adalah golongan paling yakin terhadap ekonomi negara berbanding etnik lain di Malaysia.”
Katanya, dalam usaha memulihkan persepsi dan keyakinan rakyat terhadap ekonomi negara, MTEM mencadangkan kerajaan mewujudkan peluang pekerjaan baru melalui pelbagai projek inisiatif untuk meningkatkan kualiti, produktiviti dan pendapatan, khususnya golongan terjejas.
Beliau turut menyarankan kerajaan mempercepatkan penyelarasan gaji minimum dan kajian semula struktur gaji supaya sejajar pertumbuhan ekonomi negara.
“Seterusnya menambah baik keadaan ekonomi Bumiputera bagi membantu golongan paling terkesan.
“Memperkenalkan cukai kekayaan dan ‘capital gain tax’ dan memperbanyakkan projek rumah mampu milik di bawah RM200,000 seunit.”
MTEM juga meramalkan tahap keyakinan rakyat untuk suku berikutnya akan dipengaruhi selepas pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei ini.