BN terdesak beri hadiah tunai perdaya rakyat – Dr Hatta
Demam pilihan raya umum ke – 14 (PRU14) semakin hangat apabila pemimpin kerajaan sementara BN semakin terdesak menabur janji dan habuan.
Menurut Pengarah Pilihan Raya Parti Amanah Negara, Dr. Hatta Ramli, BN semakin gelabah apabila tidak segan silu memberi hadiah dalam program ceramah dan habuan tunai seperti ‘fuel card’ (kad membeli minyak secara percuma) bernilai RM800 dalam perjumpaan bersama para pemandu teksi baru-baru ini.
Katanya, BN kelihatan amat takut kalah apabila sudah ada tanda-tanda rakyat akan mengundi Pakatan Harapan (PH) secara besar-besaran disebabkan oleh kos hidup yang menghimpit.
“Cuma di Kelantan sahaja, Pas dapat menghalang momentum Pakatan. Saya dapat rasa rakyat benar-benar inginkan perubahan sekarang.
“Oleh itu, PH berada dalam kedudukan yang baik untuk menang PRU14. Namun begitu, kita tidak boleh terlalu yakin (over-confident) sebab BN mempunyai jentera pilihan raya yang amat kuat (dibantu jentera kerajaan) tetapi saya harap kekuatan rakyat akan bersama Pakatan untuk menumpaskan BN kali ini,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Menurut Dr Hatta lagi, pemimpin-pemimpin BN amat maklum kos sara hidup menjerut leher rakyat tetapi mereka tidak mampu untuk menurunkannya.
Sebab itu, katanya, BN terpaksa menabur duit dan alat elektrik percuma sebagai langkah untuk meredakan kemarahan rakyat buat sementara waktu sehingga hari mengundi pada 9 Mei 2018.