Undi Orang Asli penentu kemenangan PH di Pahang
Biarpun tarikh pilihan raya umum ke 14 (PRU14) masih menjadi teka-teki namun Pakatan Harapan (PH) Pahang telah bekerja keras untuk menang setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam negeri itu.
Salah satu faktor penting kali ini, selain undi orang Melayu Felda adalah undi Orang Asli.
Menurut Ketua Pembangkang DUN Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, undi Orang Asli walaupun sedikit namun menentukan majoriti yang akan didapati oleh calon-calon yang bertanding.
“Yang penting bagi Pakatan Harapan di negeri Pahang ialah kita mesti menyampaikan maklumat sebenar kepada pengundi di kawasan pendalaman, khasnya masyarakat Orang Asli kerana dengan sokongan mereka kita mampu memenangi lebih banyak kerusi di Parlimen dan DUN Pahang,” katanya yang juga ADUN Mentakab dari DAP.
Beliau juga memberi contoh beberapa kerusi Parlimen dan DUN di Pahang yang mempunyai peratus pengundi Orang Asli yang tinggi. Misalnya, parlimen Cameron Highlands, 20.7% pengundi Orang Asli; Tanah Rata di Parlimen Cameron Highlands 13% Orang Asli; Jelai di Parlimen Cameron Highlands 32.3% Orang Asli; Bebar di Parlimen Pekan 27% Orang Asli; parlimen Maran 17%, DUN Jenderak di Parlimen Kuala Krau 15.9% dan DUN Kemayan di Parlimen Bera 8.4% pengundi Orang Asli.
Selain itu, parlimen Rompin pula terdapat sekitar 8.4% Orang Asli, DUN Bukit Ibam di Parlimen Rompin 7.6% Orang Asli; DUN Muadzam Shah di Parlimen Rompin 10.4% dan DUN Tioman di Parlimen Rompin sebanyak 7.2%.
Menurut beliau, pendekatan yang diambil oleh DAP ialah memupuk semangat persahabatan dengan masyarakat Orang Asli kerana mereka tidak gemarkan pemimpin parti politik yang hanya datang hampir pilihan raya.
“Pendekatan menziarahi masyarakat Orang Asli ketika mereka mengadakan majlis perkahwinan atau upacara pengkebumian adalah penting kalau hendak merapati mereka.
“Pada masa kita mengambil bahagian dalam aktiviti harian, dalam sembang-bual kita boleh menyampaikan mesej atau maklumat dari dunia luar supaya mereka tahu tentang berita dan perkembangan politik terkini.
“Justeru itu, untuk mengenali mereka dengan lebih mendalam perlukan masa yang lama,” sambung Tengku Zulpuri yang optimis dalam PRU14 PH mampu meraih sokongan Orang Asli.
“Sementara menunggu pembubaran Parlimen, kami akan bertungkus-lumus menggiatkan usaha memberi penerangan kepada mereka,” katanya kepada Suara pakatan daily.