Tak dapat BR1M kalau sokong pembangkang?
Kemarahan berhubung kos sara hidup di kalangan penduduk luar bandar menghantui Barisan Nasional (BN), kata bekas pemimpinnya, Shariff Omar, yang mendakwa gabungan pemerintah itu menggunakan taktik menakut-nakutkan untuk membuli pengundi.
Dakwaan Shariff itu dibuat ketika Pakatan Harapan (PH) sedang giat mengadakan lebih banyak kempen untuk mencetus peralihan undi Melayu luar bandar yang dipercayai akan membantunya menewaskan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Mereka memberitahu orang kampung akan kehilangan BR1M jika mereka menyokong pembangkang,” kata Shariff, yang kini bersama PH, merujuk kepada wang tunai yang diberikan di bawah Skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Shariff, bekas timbalan menteri BN, berkata parti pemerintah mula menggunakan ancaman manipulatif itu kerana PH kini sudah mula menembusi pengundi luar bandar – penyokong tradisi BN.
“Mereka enggan menyebutkan yang BR1M bukan datang daripada BN, tetapi daripada rakyat yang membayar GST kepada kerajaan,” kata Shariff, yang mungkin bertanding kerusi Parlimen Tasek Gelugor di Pulau Pinang.
“Mereka juga memberitahu orang kampung di Pulau Pinang yang bantuan bayaran banjir sebanyak RM700 adalah daripada kerajaan persekutuan,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam temu bual baru-baru ini.
“Kita semua tahu wang itu adalah daripada kerajaan negeri PH. Kerajaan persekutuan tidak menghantar bantuan tunai sehingga hari ini.”
Kerajaan Pulau Pinang mengagihkan sejumlah RM29.32 juta bantuan kepada isi rumah di negeri itu yang terjejas akibat banjir pada 4 dan 5 November.
Lebih 47,000 keluarga menerima bayaran RM700, jumlah tertinggi yang pernah diberi untuk bantuan banjir oleh mana-mana kerajaan di Malaysia.
Shariff yang menyertai parti komponen PH Bersatu, berkata BN tidak boleh mendakwa ia mempunyai kubu kuat lagi.
Beliau berkata PH berjaya menembusi semua kampung, menyebabkan BN bimbang dan menggunakan manipulasi dan penipuan.
Walaupun ramai penduduk di luar bandar masih tidak memahami skandal yang melibatkan pentadbiran persekutuan, mereka berasa diperah oleh kenaikan kos sara hidup dan cukai barang dan perkhidmatan (GST), katanya.
“Mereka menyalahkan kerajaan. Kami menjelaskan kepada mereka yang keadaan itu disebabkan oleh penyalahgunaan dan penyelewengan.
“Tiada ahli Parlimen BN atau pemimpin bahagian yang bercakap tentang GST, kos sara hidup atau skandal 1MDB. Mereka semua takut tindakan akan diambil terhadap mereka.
“Ada yang sampai berbohong yang GST menurunkan harga. Bagaimana? Sejak lahir hingga selepas mati, orang membayar GST.”
Shariff berkata rakyat, termasuk penduduk Tasek Gelugor, mula mempersoalkan kerajaan persekutuan.
Shariff membangkitkan apa yang berlaku kepada Ahli Parlimen Pandan PKR, Rafizi Ramli, yang akan menghabiskan 30 bulan di penjara kerana mendedahkan skandal RM250 juta Pusat Fidlot Nasional.
“Kerajaan memberi keluarga menteri projek itu untuk meningkatkan pengeluaran daging lembu supaya Malaysia dapat mengurangkan import daging lembu tetapi dana dibelanjakan untuk kondominium.
“Pemberi maklumat pula dipenjarakan manakala mereka yang terbabit dalam skandal itu tidak dilangsung didakwa di mahkamah. Daging lembu sekarang berharga RM32 sekilogram. Disebebkan kekurangan bekalan, daging perlu diimport. Rakyat sudah bosan.”
Ketika semakin ramai yang semakin tidak puas hati dengan BN, Shariff berkata PH dan Bersatu semakin popular.
Katanya, ia petanda yang baik dan memetik jumlah hadirin yang ramai di ceramah PH dan orang yang mendaftar untuk menyertai Bersatu.
Beliau berkata orang ramai mengiktiraf ahli Bersatu ketika mereka memakai baju merah mereka.
“Saya sedang makan tengah hari di sebuah restoran pada suatu hari apabila saya melihat beberapa pelanggan melihat saya. Saya tidak mengendahkannya.
“Mereka kemudian datang untuk bersalam. Mereka berkata jika saya memakai baju biru, mereka tidak akan peduli,” katanya, merujuk kepada warna BN.