Terima kasih kerana tidak mengundi




Donald Trump memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada akhir 2016 kerana pengundi yang menganggap diri mereka progresif dan moderat tidak keluar mengundi. Mereka benci Trump tetapi mereka tidak puas hati dengan calon Demokrat Hillary Clinton yang dianggap tidak cukup progresif.
Malah, mereka mengatakan pilihan di antara Trump dan Clinton adalah sama seperti dipaksa memilih di antara Coca-Cola dan Pepsi Cola.
Trump yang mewakili konservatif Republikan dan Clinton yang sedikit moderat mendapat undi yang hampir sama banyak. Namun, 42% pengundi yang layak mengundi telah tidak keluar mengundi.
Hari ini, dunia melihat gelagat manusia yang digelar Presiden Trump. Dia menang dalam pilihan raya demokratik yang membenarkan rakyat berbuat apa sahaja yang mereka suka, sama ada mengundi, merosakkan undi atau tidak keluar mengundi.
Itu adalah AS. Sama ada kita suka atau tidak, demokrasinya sedikit-sebanyak lebih matang berbanding Malaysia walaupun ada banyak kecacatan. Struktur pentadbiran dan ekonominya lebih kukuh; ia tidak dikuasai mana-mana parti atau pemimpin politik.
Ia memang negara kapitalis tetapi ia juga membenarkan campur tangan kerajaan dalam hal-hal hak asasi dan hak pekerja, walaupun jaminannya masih lemah berbanding negara-negara Eropah Barat.
Namun, Eropah juga sedang mengalami kebangkitan politik perkauman yang sedang melanda AS pada masa ini.
Apa pun, ia tidak sama dengan Malaysia yang masih dikuasai sepenuhnya parti yang menjadi kerajaan. Ruang dan amalan demokrasi masih sempit untuk aksi- aksi demokrasi radikal.
Masih ada orang yang tidak dapat membezakan di antara kerajaan (pentadbir yang tidak berpihak) dan parti (penentu dasar kerajaan sepanjang tempoh pentadbirannya selepas menang dalan pilihan raya umum).
Masih ada orang yang menganggap apabila parti memenangi PRU dengan majoriti 50% + 1 kerusi (undi popular tidak menjadi ukuran di Malaysia), ia berhak berbuat apa sahaja atas nama kerajaan.
Oleh itu, perlu ada reformasi pentadbiran untuk memastikan suara rakyat diutamakan, dan bukannya kehendak pimpinan parti.
Asas reformasi ini adalah memberikan kuasa kepada Parlimen selaku wakil suara rakyat. Kuasa itu perlu diambil semula daripada Pejabat Perdana Menteri untuk dikembalikan kepada Parlimen. Perdana menteri pula tidak boleh terlalu berkuasa sehingga ditakuti mahkamah, pekhidmatan awam dan Parlimen.
Atas sebab ini, perlu ada perubahan kerajaan di Malaysia. Untuk mengubah kerajaan, pengundi berdaftar perlu keluar mengundi, dan memilih parti-parti Pakatan Harapan (PH) untuk menjadi kerajaan baru. PH berjanji untuk melaksanakan reformasi pentadbiran sedangkan Barisan Nasional (BN) selesa di tampuk kuasa menolak perubahan.
Tetapi timbul persoalan. Bolehkah janji-janji PH dipercayai? Apakah PH akan menjadi lebih baik daripada BN? Atau kedua-duanya sama sahaja?
Jadi bermulalah idea untuk memboikot PRU akan datang dengan tidak keluar mengundi atau pergi mengundi dengan niat merosakkan undi.
Golongan ini mahu berkecuali kerana enggan dilihat memilih di antara Coke dan Pepsi. Mungkin lebih cool bagi mereka jika minum air mineral dalam botol plastik walaupun bahan sintetik itu merosakkan alam sekitar.
Namun, buatlah apa sekalipun, sikap berkecuali bererti menjamin kekalnya status quo – kemenangan untuk Najib Razak, Umno dan BN serta dasar-dasar diskriminasi, ketidakadilan, kemelut ekonomi dan tiada ruang kebebasan bersuara serta berekspresi.
Mengapa sikap berkecuali atau tidak mengundi tidak akan memberi sebarang kesan di Malaysia?
Pada 13 November lalu, Bajet 2018 yang dibentangkan Najib lulus apabila 107 ahli Parlimen BN menyokongnya walaupun ditolak 59 ahli Parlimen PH.
11 ahli Parlimen PAS berkecuali.
Bajet tersebut tidak membawa sebarang reformasi ekonomi kecuali pergantungan kerajaan kepada pelbagai jenis cukai.
Alasan PAS, jika membantah bajet tersebut pun, ia tidak membawa apa-apa perubahan. Hasilnya, kerana berkecuali, PAS mendapat ucapan terima kasih daripada Ahli Majlis Tertinggi Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Selepas itu, Bajet 2018 bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pula diluluskan apabila BN mendapat 52 undi manakala PH 51 undi. Dua ahli Parlimen PAS berkecuali. PH melihat bajet kementerian tersebut sebagai tidak menawarkan idea bernas untuk mengawal kenaikan harga barang dan perkhidmatan, termasuk kenaikan harga minyak.
Selepas bajet kementerian itu diluluskan, Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu Johari Baharom berterima kasih kepada PAS, yang seperti yang dilaporkan media, berkata: “Saya mengucapkan terima kasih kepada dua ahli Parlimen PAS tersebut yang tidak mengundi untuk pembangkang, sepatutnya memang perlu macam itu, barulah kita jadi kuat”.
Sama ada berkecuali atau tidak mengundi, malah jika merosakkan undi, keputusannya sama sahaja. Najib dan BN akan terus berkuasa, selama yang mungkin.
Namun, tidak semuanya kabur dan kelam. Harapan tetap bersinar. Majoriti rakyat masih percayakan peranan kerajaan. Majoriti rakyat yakin dengan sistem demokrasi. Majoriti rakyat bukan anarkis.
Rakyat hanya menuntut sistem yang lebih adil, pemimpin yang lebih bersih dan kerajaan yang sedia mendengar rintihan dan cadangan rakyat. Untuk membentuk kerajaan dan pentadbiran yang lebih bersih, titik permulaannya adalah dengan mengundi.
Kalau nak jadi cool juga, dan mahu berkecuali, yang pasti pimpinan Umno dan BN akan mengucapkan terima kasih kepada kita yang layak mengundi tetapi tidak keluar mengundi pada PRU ke-14 ini.