PH mesti tunjuk DNA berbeza dengan BN
Pakatan Harapan (PH) mesti beritahu rakyat bahawa mereka akan pastikan Malaysia tidak akan lagi menjadi syurga untuk pemimpin perkayakan diri, kata Datuk Zaid Ibrahim.
Bekas menteri undang-undang berkata perkara itu mesti dinyatakan secara jelas dalam manifesto pilihan raya umum gabungan pembangkang itu.
Beliau dalam catatan blog terbaharunya berkata pendirian itu satu-satunya janji paling bermakna buat pengundi Malaysia, bukan perkara biasa seperti kemakmuran, lagi reformasi dan lagi duit untuk Islam.
“Bagi saya hanya ada satu manifesto bermakna: bagaimana hendak menangani kleptokrasi dan apa yang kita sebagai sebuah negara boleh lakukan untuk menghalangnya daripada berulang.”
Ahli DAP itu menggesa manifesto PH memperincikan jenis kerajaan dan jenis pemimpin untuk Malaysia sekiranya gabungan pembangkang itu mengambil alih kuasa pada pilihan raya umum ke-14.
“Manifesto PH mesti boleh tunjukkan DNA pemimpin PH berbeza daripada BN, dan mereka sedia membuat janji yang pemimpin BN tidak mampu lakukannya. Dalam erti kata lain, mereka mesti sedia menangani kleptokrasi secara berkesan. Untuk itu, mereka mesti beritahu rakyat apa yang mereka mahu lakukan untuk pastikan Malaysia tidak akan lagi menjadi syurga untuk pemimpin perkayakan diri.
Zaid berkata BN contohnya tidak berjnaji kepada rakyat bahawa semua kontrak kerajaan, terutamanya melibatkan syarikat milik kerajaan, akan dilakukan secara tender terbuka. PH mesti usaha untuk melakukan perkara ini.
“Kita tidak akan dapat menangani pemimpin dan penjawat awam korup kecuali sesuatu yang drastik diambil. Akta Sektor Awam mesti diluluskan yang mana bukan sahaja kerajaan akan mengamalkan kebertanggungjawaban dan ketelusan, tetapi peraturan dan perintah sedia ada akan dikaji semula bagi memastikan penyeliaan yang berkesan dan memperuntukkan hukuman keras untuk mereka yang melanggarnya.”
Beliau mencadangkan satu lagi janji iaitu mengasingkan pendakwaraya awam daripada ketua peguam negara kerana ia akan menunjukkan kepada rakyat bahawa, “akhirnya, undang-undang jenayah negara kita akan dilaksanakan secara adil, ke atas golongan kleptokrat dan rakyat biasa, dan pemimpin kerajaan dan pembangkang.”
Beliau menambah: “Pemisahan seperti itu akan menamatkan senario memalukan yang menyebabkan pendakwaraya kita diketawakan dunia.”
Zaid mahu PH berjanji kementerian undang-undang akan dijadikan kementerian tersendiri daripada menjadi sebahagian daripada Jabatan Perdana Menteri. Ini akan memberitahu rakyat Malaysia bahawa “keadilan diutamakan dalam kerajaan baharu dan kerajaan baharu akan melakukan semua reformasi yang perlu demi kebaikan negara – bukan untuk melindungi perdana menteri”.
Satu lagi janji manifesto pilihan raya ialah Akta Rahsia Rasmi dalam bentuk sedia ada mesti dimansuhkan.
“Jika akta ini dimansuhkan, menteri-menteri kita, penjawat awam dan ketua polis masa depan tidak akan lagi jadi terlalu kaya dengan merompak sesuka hati. Ini akan memberitahu rakyat mereka dalam kerajaan tidak lagi akan boleh mengelaskan dokumen sebagai rahsia rasmi mengikut kehendak hati. Dengan itu, mereka yang mencuri harta kerajaan akan diheret ke perhatian dunia.”
Zaid juga mahu PH berjanji Parlimen mempunyai kata putus dalam pelantikan pegawai tertinggi seperti ketua setiausaha kerajaan, ketua polis negara, peguam negara, ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan hakim-hakim tertinggi.
“Pakatan mesti jadikan janji itu sebagai keutamaan, dan hebahkan janji itu kepada rakyat. Rakyat akan menyokong perubahan kerana mereka sudah letih dengan sistem sekarang. Manifesto PH menjadi jelas dan tepat bagaimana membetulkan sistem rosak.”
Peguam itu berkata PH mesti tekad membetulan semua kesalahan kerajaan sekarang.
“Janji pengampuan kepada pegawai gred rendah itu bagus tetapi mesej yang PH mesti berikan ialah PH akan dakwa semua mereka yang berkuasa di peringkat tertinggi yang bersubahat, secara langsung atau tidak langsung, dalam tindakan jenayah atau penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin. Rakyat tidak mahu ada seorang pun dibiarkan terlepas. Janji itu dicetak dengan terang dan jelas dan diedarkan ke seluruh negara.
“Kerajaan ini gemar pada golongan kaya dan elit, dan kita mesti ubah keadaan itu. Mereka yang menyedut kemewahan negara dibiarkan manakala orang kebanyakan (walaupun kesalahan kecil) dikenakan hukuman berat, kononnya sebagai langkah pencegahan. Itu hanyalah farsa.
“Tiba masanya kita berjanji tidak akan ada lagi orang dipenjarakan kerana mencuri makanan atau alat permainan (yang bernilai kurang dari RM1,000) untuk anak-anak mereka. Denda sahaja sudah mencukupi. Ini akan beritahu rakyat bahawa kerajaan baharu merasai golongan miskin. Ia juga menunjukkan kerajaan baharu memahami masalah golongan miskin, jadi tidak mengejutkan kerajaan akan membina rumah perlindungan dan menyediakan subsidi secukupnya untuk makanan.”
Antara cadangan lain ialah menyediakan ubat percuma secukupnya untuk pesakit barah, menyediakan jaringan keselamatan sosial yang lebih luas, melindungi hak tanah Orang Asli, dan memelihara kawasan hujau seperti taman-taman di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur.
Beliau mengakhiri catatannya dengan menyeru gabungan pembangang membentangkan manifesto yang berbeza, manifesto yang mendengar suara rakyat yang mahukan “kerajaan penyayang dan bersih.”
“Pakatan mesti mampu bentangkan pelan tindakan untuk menangani kleptokrasi dan golongan kleptokrat, kerana jika tidak, usaha terhadap 1MDB selama ini menjadi omong kosong dan sia-sia. Sebagai sebuah negara, kita sudah kehilangan berbilion ringgit kepada kleptokrat, dan sekarang masanya kita berjanji kepada rakyat ia tidak akan berlaku lagi, dan menggesa mereka berikan sokongan penuh kepada reformasi institusi kerajaan.”