Sahkan sistem IMAMS dibatalkan – Khalid Samad
Jelaskan secara tuntas atau akan digelar perdana menteri cukai – itu kata Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, mengulas keputusan kerajaan menamatkan pelaksanaan sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS).
Kata Khalid rakyat hari ini sudah bosan dengan pelbagai tindakan kerajaan yang selalu membebankan rakyat dengan mengenakan cukai.
Turut dituntut Khalid untuk membuat penjelasan ialah Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz.
“Kita minta perdana menteri dan menteri pelancongan mengesahkan bahawa sistem IMAMS itu benar-benar dibatalkan, bukannya ditangguh atau dipinda tapi batal terus.
“Kita nak satu kenyataan yang betul-betul jelas menyatakan bahawa rakyat tidak akan dibebankan lagi,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam, hari ini.
IMAMS diperkenalkan oleh kerajaan sebagai satu mekanisme tunggal bagi menguruskan permohonan visa dari Kedutaan Arab Saudi di Malaysia untuk jemaah umrah.
Ia diwajibkan ke atas 65 agensi pelancongan berstatus muassasah yang mempunyai Lesen Khas Umrah (LKU).
Sebuah syarikat – Imams Sdn Bhd – ditubuhkan untuk mengedalikan pelaksanaan itu yang didakwa dapat mengatasi masalah penipuan syarikat pengendali umrah seperti banyak berlaku sebelum ini.
Bagaimanapun pelaksanaan IMAMS itu dibatalkan sehari selepas ia berkuat kuasa.
Beberapa kenyataan dibuat pihak kementerian menimbulkan kekeliruan. Misalnya sama ada pelaksanaan pengurusan tunggal visa itu dibatalkan terus atau akan digantikan dengan mekanisme lain, serta sebab sebenar ia dibatalkan.
Antara bantahan orang ramai terhadap pelaksanaan IMAMS ialah kadar bayaran yang terpaksa dikeluarkan setiap seorang yang ingin mengerjakan umrah iaitu sebanyak RM90.10.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri – melalui Twitter – menyambut baik “pembatalan” IMAMS.
Kata Khalid kerajaan perlu memikirkan cara lain untuk membiayai kos yang perlu ditanggung jemaah umrah dan bukannya mengenakan caj tambahan kepada mereka.
“Kita tak nak nanti orang kata kerajaan (hari) ini kerajaan yang gila cukai sebab asyik cari jalan nak cukai rakyat saja, hinggakan nak buat umrah pun nak kena cukai.
“Kita minta kenyataan yang jelas bahawa tidak ada lagi tangguhlah, pindalah. Bebaskan rakyat daripada tekanan seperti ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Khalid yang juga pengarah komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) mahu Nazri menyokong sepenuhnya kenyataan Najib membatalkan IMAMS.
“Sebagai menteri pelancongan, (Nazri) dah tambah cukai pelancongan. Nak bermalam di hotel pun kena cukai, (sekarang) umrah pun nak kena cukai.
“Silap-silap gaya Nazri dapat reputasi menteri cukai pula,” katanya.
Pada masa sama Khalid meminta Nazri tidak menggunakan alasan yang didakwanya “sengaja direka-reka”.
“Kononnya pegawai dia tak faham mengenai bayaran yang nak dikenakan apabila sistem IMAMS itu dilaksanakan adalah alasan yang direka-reka beliau,” katanya.