Tun Mahathir sahkan PH telah mempunyai calon PM
Dr Mahathir Mohamad mendedahkan beliau sudah memikirkan beberapa calon daripada pembangkang yang mampu menjadi perdana menteri jika Pakatan Harapan (PH) ambil alih Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU 14).
Pengerusi PH bagaimanapun enggan mendedahkan nama individu-individu berkenaan dan parti mereka kerana bimbang mencetuskan kontoversi.
“Kita ada beberapa calon tetapi kita tidak mahu terlalu menonjolkan mereka kerana banyak kontroversi mungkin tercetus dan sebagainya,” katanya dalam temuduga dengan CNBC hari ini.
“Tetapi kita mempunyai ramai yang berkebolehan di Malaysia untuk menjadi perdana menteri.”
Pendedahan itu bercanggah dengan keinginan PKR yang mahu melihat pemimpin mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri. Anwar merupakan ketua umum gabungan itu.
Perwakilan di kongres nasional PKR 21 Mei lalu membawa sepanduk menyokong Anwar untuk jawatan perdana menteri. Dr Mahathir yang bersama pimpinan PH lain tidak memegang sepanduk “Anwar PM ke-7”, tetapi dilihat merakam suasana itu melalui telefon bimbitnya.
Tetapi pada 6 Jun, Dr Mahathir dilaporkan memberitahu ahli perniagaan dan pemimpin pendapat dan pemimpin pendapat di Tokyo, terdapat kemungkinan beliau mungkin menjadi perdana menteri lagi sekali jika pembangkang menang tetapi hanya untuk “tempoh singkat”.
“Jika tiada calon… saya mungkin akan cuba dengan syarat semua bersetuju,” katanya.
Ekoran percanggahan yang disiarkan melalui media mengenai hal itu, Anwar yang sedang melalui hukuman penjara 5 tahun selepas disabit kesalahan meliwat, mengumumkan pada 17 Jun beliau tidak bertanding untuk jawatan tertinggi itu.
Semasa bercakap dengan CNBC, Dr Mahathir yang berumur 92 tahun itu berkata, mengumumkan senarai calon tidak sesuai masa ini, dan pembangkang patut kekal fokus menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Najib Razak.
“Ia (menamakan mereka) akan menyebabkan ramai orang berdebat dan mencetuskan pelbagai tuduhan palsu terhadap mereka, dan mereka akan sibuk cuba membela mana-mana calon yang tidak akan menjadi perdana menteri,” beliau dipetik berkata.
“Saya tidak terfikir untuk memerintah, saya hanya fikirkan bagaimana mengalahkan Datuk Seri Najib pada pilihan raya seterusnya dan nampaknya ramai orang memberi respons kepada apa yang saya lakukan.
“Kami yakin kami akan menang, tetapi kami harus berdepan lelaki yang sanggup melakukan apa saja demi kuasa,” tambahnya, merujuk kepada Najib.
Pada 26 Mei, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendakwa Dr Mahathir tidak membantah Anwar dinamakan sebagai pilihan PH untuk jawatan perdana menteri.
“Beliau cuma berkata tiada keperluan untuk mengumumkan nama tersebut tetapi bukan bermaksud beliau tidak bersetuju,” kata Dr Wan Azizah.
Pada 13 Jun, Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang berkeras Anwar bakal perdana menteri pilihan PH tetapi hanya akan menjadi perdana menteri yang ke-8 bukan ke-7 kerana beliau berada di penjara dan dilarang memegang jawatan awam selepas dibebaskan nanti melainkan diampunkan.
“Perdana menteri ke-7 akan diputuskan secara persejuan semua apabila Pakatan Harapan memenangi PRU 14,” kata Lim tanpa menyebut sebarang nama.
Pada 18 Julai, Dr Mahathir akhirnya berkata beliau sanggup menyokong Anwar sepenuhnya untuk jawatan perdana menteri “jika itu yang rakyat mahukan.”
Beliau berkata PH sedang menunggu waktu sesuai sebelum mengumumkan pilihan perdana menteri, mengatakan ianya satu strategi yang menggunakan “elemen kejutan” pada pilihan raya seterusnya.
“Kami akan mengumumkan nama itu pada masa yang sesuai. Boleh jadi sekarang atau sebelum pilihan raya. Atau sejurus selepas memenangi pilihan raya. Ini satu pilihan,” katanya.