PAS ambil peranan UMNO serang pembangkang


SHAH ALAM,11 SEPT: Kempen propaganda UMNO memburukkan Pakatan Harapan (HARAPAN) dengan menyebar kebencian dan sentimen perkauman kini sudah diambil alih PAS.
Ia dilihat jelas apabila pemimpin PAS, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Khairuddin Aman dan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi menggunakan skrip UMNO mendakwa setiap satu undi kepada HARAPAN adalah satu undi untuk DAP.
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil menyifatkan kenyataan pemimpin PAS itu membuktikan parti tersebut terpaksa memainkan sentimen kaum bagi meraih sokongan.
Ia secara tidak langsung katanya telah membantu UMNO khususnya Datuk Seri Najib Razak bagi mengekalkan kuasa.
“Mungkinkah persamaan fikrah antara PAS dan UMNO sekarang hasil pendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang hanya mahu menjadi penasihat merupakan suatu  kemahuan dan bukan lagi kebetulan,” soalnya.
Beliau turut menyeru ahli dan penyokong PAS supaya ‘membuka mata’ terhadap perubahan sikap PAS yang kini menjadi tongkat UMNO untuk terus kekal berkuasa.
“Memberi undi kepada PAS adalah memberi undi kepada UMNO yang selama ini berjuang atas nama perkauman.
Memainkan sentimen perkauman bukanlah suatu sikap  yang matang kerana ia tidak membawa kesejahteraan kepada negara,” katanya lagi.
Tohmahan pemimpin PAS itu juga katanya adalah meleset kerana perjuangan HARAPAN adalah bagi menyelamatkan negara daripada pemerintahan kleptokrasi Najib Razak.
“Ironinya, PAS hanya bergantung kepada sentimen perkauman dalam berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Keengganan PAS untuk bersama HARAPAN bagi membentuk satu barisan bersatu (united front) adalah bukti kegagalan PAS untuk bersama-sama menyelamatkan negara.
Menyifatkan kenyataan itu dangkal, Setiausaha Eksekutif Pemuda Sosialis DAP, Muhammad Shakir Ameer Mohideen berkata, ia mencerminkan kepimpinan PAS semakin ketandusan idea.
“Antara skrip UMNO dahulu adalah satu undi untuk PAS adalah satu undi untuk DAP. Tidak terkejutlah, setelah tidak ada lagi hubungan politik mereka mula menyerang kami,” katanya.
Menurut Bendahari DAPSY Selangor itu, setiap undi kepada HARAPAN bukan sahaja untuk DAP tetapi juga kepada PKR, AMANAH dan PPBM.
“Hal ini kerana HARAPAN merupakan gabungan kerjasama parti-parti politik. Begitu juga, dengan PAS dengan gabungan Gagasan Sejahtera mereka,” katanya.
Menurutnya sikap UMNO dalam PAS semakin jelas – jika dahulu PAS berbangga dengan pencapaian pembangunan dan kedudukan Islam di Pulau Pinang, kini, lain pula yang digambarkan.
“PAS harus sedar diri sendiri sebelum menabur fitnah terhadap pihak lain. Dahulu mereka yang memuji pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang kini lain pula ceritanya.
“DAP secara konsisten akan sentiasa akur akan Perlembagaan Persekutuan dan juga kedudukan Islam dan Melayu seperti yang termaktub di Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.