Najib sukses bertemu Trump, PRU 14 bulan November?
Pemerhati politik meramalkan pilihan raya umum ke 14 (PRU 14) mungkin akan dilaksanakan pada November 2017 berikutan suksesnya pertemuan Najib dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di White House.
Menurut penganalisis ekonomi, Albert Kwok, ramai usahawan turut menjangkakan PRU14 akan diadakan selepas pembentangan Belanjawan 2018 pada 27 Oktober depan. Dua feel good factor tersebut dijangka akan digunakan Najib untuk meraih undi Melayu terutama di kawasan sub dan luar bandar yang kurang maklumat.
“Secara keseluruhan pengundi Cina sudah bersedia untuk mengundi Pakatan Harapan (PH) tetapi pengundi Melayu di kawasan kampung masih setia kepada BN.
“Pengundi dari masyarakat India akan menjadi penentu di setengah-setengah kawasan Parlimen dan justeru itu PRU14 pasti akan diadakan selepas perayaan Deepavali supaya memberikan masa kepada pemimpin BN untuk meraih sokongan dari kelompok masyarakat ini,” kata Albert kepada Suara pakatan daily.
Tambahnya, pembentangan Belanjawan 2018 akan digunakan sebaik-baiknya untuk memberi sebanyak mungkin ‘gula-gula’ kepada rakyat bagi melupakan keperitan kenaikan harga barang dan kos hidup melampau.
Menurut beliau lagi, PH harus bekerja keras dalam sisa dua tiga bulan ini untuk menerangkan kepada msyarakat luar bandar keadaan sebenar ekonomi dan politik negara jika mahu menang.
“Yang penting sekarang, Pakatan mesti mengalihkan tumpuan kempen dan menggunakan masa sepenuhnya untuk menyampaikan maklumat di kawasan kampung kerana ramai penduduk di bandar adalah penyokong PH.
“Juga kali ini, PH mempunyai peluang terbaik untuk menang sekiranya berjaya memperolehi sokongan pengundi Melayu. Sudah ada penganalisis politik yang berani meramalkan PH mungkin menang tipis kerana semua lapisan masyarakat sudah berang dengan kenaikan harga barang-barang secara bertali-arus,” kata Albert.
Beliau juga menekankan pentingnya peranan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Amanah untuk menaikkan undi di luar bandar dan kawasan Felda yang menjadi kubu kebal BN selama ini.