Azmin kuasai Biro Politik PKR, salahkan Malaysiakini?
Sekembalinya Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dari Eropah beliau menyalahkan portal berita Malaysiakini kerana laporan kononnya rundingan PKR – Pas adalah inisiatif peribadinya.
Sedangkan kata Azmin, rundingan itu adalah keputusan rasmi parti. Azmin mengaku mewakili PKR dalam rundingan pembahagian kerusi berkenaan.
Siapakah yang benar dalam isu ini? Portal Malaysiakini tidak seratus peratus salah kerana wartawan mereka telah pun menemubual secara eksklusif Ahli Biro Politik yang meletak jawatan kerana membantah rundingan Pas – PKR, William Leong Jee keen.
Hulubalang Anwar
Malaysiakini tentunya memiliki maklumat bahawa Biro Politik PKR telah pun dikuasai oleh puak Azmin yang digelar sebagai ‘kartel’ sejak setahun lalu apabila hulubalang-hulubalang Anwar seperti Tian Chua, Muhamad Noor Manuty, Kamaruddin Jaafar dan lain-lain berpindah kem menyokong Azmin.
Sama ada cadangan berunding dengan Pas diundi atau pun tidak dalam biro politik, pasukan Presiden PKR Dr Wan Azizah Ismail pastinya akan kalah. Penyokong kuat Wan Azizah yang kedengaran menyanggah pendapat Azmin hanyalah Rafizi Ramli, Saifudin Nasution dan Wong Chen. Suara mereka tenggelam apabila menghujahkan pendapat.
Maka Azmin menang dengan cadangan untuk terus berunding bersama Pas. Dr Wan Azizah walaupun kurang setuju terpaksa akur kepada idea meneruskan rundingan tanpa tarikh akhir itu.
Untuk apakah rundingan dilakukan? Dapatan penganalisis politik menunjukkan Pas tidaklah sekuat pada dua pilihan raya umum (PRU) lalu, 2008 dan 2013. Hanya Institut Darul Ehsan yang dilihat seolah-olah ‘mengampu’ mengeluarkan hasil kajian bahawa Parti Amanah Negara (Amanah) hanya mendapat 1% sokongan di Kelantan tanpa mendedahkan kaedah persampelan mereka.
Sementara kajian paling tepat, big data analysis yang dilakukan oleh NGO Invoke menunjukkan dalam pertandingan 3 penjuru pembangkang masih boleh menang 90 kerusi parlimen dan hanya perlu mencari sebanyak 25 kerusi sahaja lagi untuk membentuk kerajaan persekutuan baharu.
Undi Cina lari
Jadi untuk apakah rundingan bersama Pas itu? Kajian Ilham Centre mengenai situasi di Selangor menjelaskan Pas mendapat 60% undi Cina manakala PKR 80% dalam PRU 13 lalu. Ilham Centre memberi amaran sekiranya PKR berkerjasama dengan Pas maka 20% undi Cina akan hilang dan parti itu dijangka kalah pada sebilangan besar kerusi yang dipertandingkan.
Untuk apakah Azmin berkeras membawa Pas yang ditolak pengundi Cina bersama Pakatan Harapan? Penganalisis politik berpendapat, jawapannya terletak kepada sokongan Pas yang mengangkat Azmin menjadi Menteri Besar Selangor pada 2015 lalu. Calon PKR ketika itu adalah Dr Wan Azizah dan mereka disokong oleh DAP dan puak profesional Pas yang kini membentuk Amanah.
Dalam hal ini sekiranya Pas diketepikan maka Azmin sudah tentu bukan pilihan untuk menduduki kerusi MB Selangor andainya PH menang lagi di negeri itu dalam PRU 14.
Secara strategi, tidak menjadi masalah Azmin mahu menjamin kedudukannya sebagai MB. Cuma yang menjadi masalah adalah Pas tidak tertarik dengan tawaran Azmin untuk berkerjasama.
Hanya Pas Selangor yang boleh dipengaruhi. Itu pun terhad kepada Iskandar Samad, Zaidy Talib dan beberapa orang lain. Apabila ahli strategi Pas meletakkan ustaz Sallehen Mukhyi menjadi Pesuruhjaya, Azmin hilang arah. Azmin tidak mampu berunding dengan ‘geng ulama’ itu. Sallehen malah beberapa hari lalu mengumumkan akan meletak calon di kesemua 42 kerusi DUN, termasuk DUN Bukit Antarabangsa, kerusi Azmin sendiri.
Azmin tiada taring
Dalam organisasi Pas Pusat, Azmin hanya mampu mempengaruhi Tuan Ibrahim Tuan Man yang tidak mendapat sokongan padu kalangan pimpinan Pas walaupun beliau timbalan presiden. Rundingan dalam pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar menjadi bukti betapa Tuan Ibrahim tidak mempunyai apa-apa pengaruh. Ketika Azmin dan Tuan Ibrahim berbincang, Hj Hadi membidas rundingan tersebut dan berkeras meletakkan calon di kedua-dua kerusi.
Cita-cita Azmin agar satu kerusi diberikan kepada PKR dan satu lagi ditandingi Pas tidak berlaku. Malah Hj Hadi terang-terangan menolak bertemu Azmin. Oleh itu, dalam rundingan yang lebih besar menuju PRU 14 apakah Azmin mampu memberi jaminan Hj Hadi akan bersetuju dengan formula pengagihan kerusi yang beliau cadangkan?
Azmin perunding yang gagal. Tetapi rakan-rakan kartelnya sengaja membutakan mata dan hati terus mengharap kejayaan Azmin walaupun PRU hanya dalam hitungan bulan. Azmin tidak mahu menubuhkan sekretariat Pakatan Harapan di Selangor hanya kerana tidak mahu mengecilkan hati Pas. Di segenap ceruk tanah air rakan-rakan kartel mengawal suasana dan bersiap sedia untuk berbaik-baik dengan Pas jika Azmin berjaya memujuk Hadi.
Maka timbul perbalahan di Kelantan antara ahli dan pimpinan yang menolak kerjasama dengan Pas dan puak kartel yang masih mahu berbaik-baik dengan parti itu. Perbalahan antara penyokong Azmin dan Dr Wan Azizah ini semakin serius dan memperlihatkan perpecahan dalam PKR apabila William Leong mengkritik lantang polisi Azmin dan berlakunya kekecohan menentang Pengerusi PKR Kelantan, Abdul Aziz Abdul Kadir .
PKR liabiliti
PKR parti terbesar PH semakin menjadi liabiliti menjelang PRU 14 kerana kedegilan Azmin membawa Pas bersamanya walaupun ke dalam jurang. Kemelut seperti ini hanya mampu diselesaikan oleh Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim jika beliau tidak dipenjarakan. Azmin tidak berani melawan Anwar dan kata putus Anwar jika dicabar Azmin maka samalah seperti beliau mengisytihar keluar parti.
Namun tidak serupa halnya dengan presiden Wan Azizah. Apa sahaja yang diputuskan oleh Wan Azizah masih boleh dipertikaikan dan puak kartel menunjukkan kekutannya dalam mesyuarat Biro Politik PKR.
Dalam kemelut ini, hanya Pengerusi Pakatan Harapan Tun Mahathir sahaja yang mampu menjernihkan keadaan. Walaupun bersifat campur tangan isu dalaman PKR namun Mahathir perlu melakukannya.
Azmin adalah anak angkat Tun sebelum beliau menyokong perjuangan reformasi Anwar. Mereka masih berhubung baik sehingga ke hari ini. Tidak salah untuk Mahathir menasihati Azmin melupakan rundingan dengan Pas yang tiada hasil.
Mahathir perlu bertindak
Mahathir pemimpin yang realistik dan bukan emosional seperti Azmin. Mahathir berfikiran lebih terbuka dan tidak hanya melihat kerusi MB. Sampai masanya Mahathir menunjukkan ketegasan kepada Azmin.
Mahathir telah membuktikan pengalamannya ditentang oleh Tengku Razaleigh dan Anwar. Mahathir menang kesemua pertandingan yang dicabar oleh bekas heavyweight Umno. Azmin tidak mampu menghadapi cabaran sehebat Mahathir.
Dengan demikian, beliau perlu ditundukkan oleh Mahathir. Sekiranya Mahathir tidak bertegas maka Azmin akan bergayut dengan sentimen Pas hingga ke hari mengundi. Pendirian tidak tegas Azmin terbukti menjahanamkan PH dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 2016 lalu. Apabila rundingan di peringkat persekutuan bersetuju dengan pembahagian kerusi bersama DAP tetapi apabila hampir pilihan raya, Azmin memberi laluan kepada desakan pemimpin PKR tempatan untuk bertanding di kerusi-kerusi bertindih yang mengakibatkan 6 kerusi PKR dan DAP bertembung.
Hal yang berlaku adalah sejarah. Namun jika Azmin dibiarkan sekali lagi menggunakan emosinya maka sejarah itu akan berulang dan pastinya pengundi akan kecewa kerana pada saat-saat akhir pun PKR tidak akan mampu memutuskan pembahagian kerusi, khususnya di Selangor.
_____________________________________________________________________________
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya pendirian rasmi WRLR