KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Kenyataan menteri UMNO, Datuk Seri Salleh Keruak kononnya DAP telah dipinggirkan dari saf kepimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) cukup untuk menggambarkan parti itu gelisah dan bimbang dengan perkembangan mutakhir ini.
Salleh seperti dilapor media mempersoal ketiadaan wakil DAP di peringkat tertinggi HARAPAN selain meremehkan keupayaan gabungan parti yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad itu kononnya belum mampu menandingi Barisan Nasional (BN).
Menurut Naib Ketua Sosialis Muda DAP Subang, Farhan Haziq, reaksi Salleh kononnya DAP dipinggirkan sepatutnya tidak timbul kerana tumpuan utama Harapan saat ini ialah untuk menjadi kerajaan yang mampu menawarkan polisi-polisi terbaik untuk rakyat.
“Saya percaya beliau sebenarnya bimbang bagaimana Harapan mampu menawarkan satu saf kepimpinan yang jitu dan inklusif kepada rakyat Malaysia.
“Beliau juga resah kerana saf kepimpinan ini cukup ampuh untuk menumbangkan BN yang diselaputi skandal kewangan, salah urustadbir dan kronisme,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan semberono Salleh itu juga menunjukkan pemimpin UMNO terbabit berasa aneh dengan semangat demokrasi dan muafakat Harapan apabila membariskan 3 tonggak utama dalam barisan kepimpinan.
Menurut Farhan, Harapan berbeza dengan BN yang hanya dimonopoli oleh UMNO dalam masa yang sama parti-parti komponen BN yang lain menjadi parti kelas kedua dan tidak berani untuk mengkritik kepimpinan Najib.
“Beliau tidak perlu bimbang kerana Harapan bukan BN malah tidak pernah sama dari segi struktur, konsep serta muafakat di antara DAP, Amanah PKR dan PPBM.
“Harapan adalah pakatan demokrasi dan bukan barisan pak turut seperti BN,” katnya.
Justeru kata Farhan, segala dakwaan Salleh sengaja dimainkan kerana menteri UMNO itu sudah ketandusan modal politik untuk mengelirukan rakyat.
“Katakan begini, jika banyak wakil DAP dalam kepimpinan Harapan, mereka pastinya akan memutarbelitkan cerita dengan mengatakan DAP ingin menguasai dan parti lain pula terpinggir.
“Ini adalah cara halus mereka untuk memecahkan Harapan dan mengelirukan rakyat,” katanya lagi.
Dalam pengumuman malam tadi, Pakatan Harapan memutuskan melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua umum gabungan pembangkang itu manakala, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi, manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dinamakan sebagai presiden.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu pula dilantik sebagai timbalan presiden.
Jawatan naib presiden HARAPAN pula disandang oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Chong Chieng Jen dan Salahuddin Ayub manakala Jawatan ketua setiausaha disandang disandang Datuk Saifuddin Abdullah dan bendahari diisi M. Kula Segaran