ANWAR YANG BERJIWA BESAR....



Pakatan Harapan perlu mengekalkan tradisi musyawwarah dan konsensus seperti mana pengalaman Pakatan Rakyat sebelumnya. Semua ketua parti mempunyai kedudukan yang sama, dengan Pengerusi hanya sebagai penyelaras. Segala persiapan/agenda mesyuarat dikendali oleh Sekretariat Bersama mewakili semua parti.

Adapun usul Bersatu untuk merombak struktur Pakatan Harapan dengan pimpinan utama parti tersebut menguasai jawatan Pengerusi dan Presiden dalam struktur baru Pakatan Harapan, dikhuatiri akan merombak kerangka Pakatan Harapan menjadikannya mirip BN. 

Maka kesediaan semua pihak dalam Pakatan Harapan untuk meneliti semula dan meminda cadangan tersebut dengan mengekalkan muafakat asal Pakatan Harapan adalah dialukan.

Dengan hasrat merangkul semua kekuatan dalam satu pasukan mantap menentang UMNO-BN, adalah dirasakan wajar memastikan penyertaan semua pimpinan secara berkesan. Ini termasuk memanfaatkan kedudukan dan peranan Tun Mahathir. 

Agak kurang bijak untuk membuat sebarang andaian sebelum semua pimpinan parti menyatakan sikap dan usul tersebut dimuktamadkan.

Sepertimana yang disepakati Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan, kita menggagaskan pembaharuan dan mengusung idea politk baru. Kita berpaksikan prinsip luhur Perlembagaan termasuk kedudukan Islam, hak keistimewaan Melayu-Bumiputera, bahasa, dan Raja-Raja Melayu. 

Kendati begitu, kita menolak asas politik perkauman; disebaliknya komited untuk menegakkan amalan demokrasi dan prinsip keadilan. Keutamaan dasar menjurus kepada kebajikan rakyat dengan menolak kerakusan kuasa dan rasuah. 

Laungan kita tidak terbatas kepada perubahan pimpinan tetapi sistem lapuk yang diwarisi yang mengizinkan segala pelanggaran hukum dan rasuah oleh pemimpin tanpa kawalan dan tindakan.

Perhatian Pakatan Harapan harus terpancang kepada dasar negara; kebobrokan sistem dan ke arah kemenangan PRU ke-14. Isu pinggiran lainnya, muslihat perebutan kuasa dan kedudukan atau keterlanjuran kata kurang sopan dalam Pakatan Harapan tidak harus diizinkan.

Dan terkait dengan gesaan untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada PRU, maka saya memilih untuk tidak menawarkan diri selaku calun Perdana Menteri. 

Pergeseran sedemikian melelahkan kerana keputusan adalah di tangan rakyat dalam PRU. Adalah diharapkan agar segala tenaga dan ikhtiar kita tertumpu nada pengukuhan jentera dan menarik dukungan rakyat.

Anwar Ibrahim
17 Jun 2017


Ulasan Blog - Tidak disangkal lagi Anwar Ibrahim memang seorang yang berjiwa besar dan mahu kejayaan Pakatan Harapan dalam pilihanraya umum akan datang lebih diutama berbanding kedudukan dirinya sendiri.

Tentunya semua ini berkisar dan mendasari kepada pelbagai masalah yang terus-menerus berlaku dalam negara di mana hanya perubahan kerajaan satu-satunya ubat mujarab untuk memulihkan ketenatan serta nazaknya keadaan akibat tangan rakus Najib Razak sejak tahun-tahun kebelakangan ini.

Menyedari hakikat bahawa penonjolan dirinya sebagai calon Perdana Menteri boleh merencatkan keyakinan pelbagai lapisan rakyat, memungkinkan terusnya  berlaku perbalahan dalam Pakatan Harapan dan sedikit menggugat kepaduan sokongan terhadap Tun Mahathir Mohamad untuk menjadi panglima di medan tempur PRU 14, Anwar umpama lilin yang sanggup membakar dirinya dengan sanggup menarik diri sebagai calon Perdana Menteri, asalkan perjuangan dapat diperkukuhkan untuk akhirnya Najib, UMNO dan BN dapat ditumbangkan.

Jika sebelum ini Anwar telah menunjukkan jiwa besar dengan sedia berdamai, memaafkan dan berjabat tangan kembali dengan Tun Mahathir, jiwa besarnya terserlah buat kesekian kalinya.

Dalam hal ini, selain mesej Anwar yang jelas mahu kedudukan serta pengaruh Tun Mahathir dimanfaatkan sepenuhnya memandangkan beliau berada di penjara dan tidak mungkin dapat sama-sama berjuang di lapangan, beliau juga mahu identiti Pakatan Harapan yang berpaksikan semangat musyawarah, konsensus dan semua parti punya kedudukan yang sama, terus dikekalkan.

Bermakna, jika Tun Mahathir dipersetujui sebagai "kepala" dan panglima perang dalam Pakatan Harapan, beliau bukan saja perlu disokong dan diberi kerjasama sepenuhnya, malah semua yang lain di lapisan bawah adalah berkedudukan dan punya hak yang sama tanpa ada mana-mana pihak harus meminta keistimewaan berlebihan.

Hanya dengan itu, Pakatan Harapan mampu tampil berbeza dengan BN dan sekaligus mencambahkan keyakinan yang lebih menyerlah ke arah perubahan.

Dengan Najib sudah dianggap beban yang semakin memberat, malah pemimpin UMNO sendiri ramai bersungut mengenai kepimpinan dan skandal yang melingkarinya, peluang Pakatan Harapan menuju gerbang kemenangan sentiasa luas terbentang.

Cuma, rakyat masih ada sedikit keliru tentang kecelaruan, perpaduan dan kesepakatan antara mereka. Anwar, dengan tindakan jiwa besar menarik diri sebagai calon Perdana Menteri lantaran menyedari kemenangan lebih penting digapai lebih dahulu dan kepentingan dirinya boleh diletakkan di belakang buat sementara waktu, berita ini pasti membuatkan Najib pening kepala sekali lagi.

Belum pun hilang pening kepala Najib dengan berita Pakatan Harapan dilaporkan bersetuju meletakkan Tun Mahathir sebagai pengerusi gabungan itu, penarikan diri Anwar ini tentu saja menyebabkannya terus ditimpa sakit kepala berpanjangan kerana perpaduan pembangkang semakin nyata dan tiada lagi isu yang tidak selesai melingkari mereka.

Fokus Pakatan Harapan seterusnya ialah seratus peratus untuk memastikan Najib, UMNO dan BN tersingkir daripada menguasai kerajaan. Sama ada Pakatan Harapan mahu memutuskan siapa calon Perdana Menteri atas semangat musyawarah dan konsensus sebelum pilihanraya atau memenangi pilihanraya terlebih dahulu, kini mereka agak bebas untuk memutuskannya.

Yang penting, fokus untuk menumbang serta menjatuhkan pemimpin serta kerajaan kleptokrasi tidak harus tersasar. (ShahbudinHusin 18/06/2017)