Calon PKR wajib isytihar harta – Syed Ibrahim
Semua bakal calon pilihan raya Parti Keadilan Rakyat wajib melalui proses pengisytiharan harta sebelum parti memutuskan mereka layak bertanding baik untuk kerusi Dewan Undangan Negeri atau Parlimen dalam PRU 14 yang dijangka berlaku dalam tempoh terdekat dari sekarang.
Demikian dinyatakan Ketua Penerangan Keadilan Syed Ibrahim Syed Noh ketika mengulas cadangan Setiausaha Agung Keadilan Dato’ Saifuddin Nasution dalam Kongres Keadilan ke-12 mahukan mereka yang terpilih sebagai calon membuat pengisytiharan harta.
“Tindakan ini sangat perlu bagi membuktikan kepada rakyat bahawa parti serius menangani soal salah guna kuasa dan rasuah di kalangan wakil rakyat apabila berkuasa dalam arus politik negara ”
“Keadilan mahu mendidik supaya wakil-wakil rakyat terpilih adalah kelompok yang berkualiti dan berintegriti serta mampu memegang amanah harta negara dengan baik di samping menolak penipuan dan rasuah,” kata Syed Ibrahim.
Menurutnya lagi, tindakan ini akan memberi ruang kepada rakyat menilai ketelusan dan keterbukaan kepimpinan Keadilan yang bertentangan dengan kaedah diambil Barisan Nasional di mana pemimpin mereka tidak perlu melalui proses pengisytiharan harta sebelum bertanding pilihan raya.
“Dasar BN ini perlu dikaji semula kerana kegagalan menisytihar harta membawa makna mereka melindungi kekayaan sebelum dan selepas menjadi wakil rakyat,” tambah beliau.
Keadilan mahukan semua pihak termasuk Barisan Nasional yang bertanding dalam pilihan raya melakukan perkara ini supaya rakyat boleh membuat semakan dan perimbangan kepada salah guna kuasa dan kemungkinan rasuah yang dilakukan mana-mana wakil rakyat.
“Kita amat teliti dalam soal pentadbiran harta negara dan menolak penyalah gunaan dana dan amanah rakyat serta dana kerajaan,” akhirinya.