Pengakuan pihak kerajaan bahawa wang dari Yayasan Tok Kenali (YTK) telah digunakan untuk membeli tanah menempatkan sebuah bangunan dua tingkat yang dibina oleh Pas Kawasan Kuala Krai yang disebut Masjid al Jauhar tetap dianggap satu penyelewengan.
Naib Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamad berkata pembelian tanah yg dikatakan bernilai RM300,000 ternyata bukan sahaja satu pembaziran, tetapi telah menyeleweng daripada objektif sebenar penubuhan YTK.
Pihak kerajaan negeri Kelantan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Politik Menteri Besar Wan Roslan Wan Hamat menafikan dakwaan Adun Salor, Datuk Husam Musa bahawa tanah adalah dibeli oleh YTK bagi tapak tugu banjir.
"Tujuan sebenar adalah menyelamatkan Masjid Jauhar yang sebelum ini dibina diatas tanah milik individu," kata kenyataan itu.
Kerajaan negeri kata Che Ibrahim, tidak sewajarnya menggunakan alasan untuk menyelamatkan masjid sebagai asas kepada pembelian tersebut kerana urusan masjid adalah di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
"Selain Masjid Jauhar yang didakwa sebagai asas pembelian tersebut, di atas tanah yang sama juga telah didirikan lima buah gerai oleh Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) dan sudah lebih sepuluh tahun mengutip sewa daripada penyewanya," katanya.
Menurutnya, pembinaan Tugu Banjir juga adalah di atas sebahagian daripada tanah tersebut, walaubagaimana pun Ketua Penerangan Ketua Pemuda Pas Kelantan, Nazman Che Iberahim yang mulanya mengaku kemudian mendakwa ianya dibina atas rizab jalan.
"Apabila Kerajaan menyedari tanah tersebut ada pemiliknya yang sah, barulah ada usaha untuk membeli tanah tersebut daripada pemilik asalnya," katanya.
Artikel Berkaitan : Tugu banjir Kelantan bazirkan RM300,000 wang Yayasan Amanah Tok Kenali