Mungkinkah berlaku Adun BN ‘melompat’ di Perak?
Pemuda AMANAH Negeri Perak yakin dengan suasana politik negara yang memihak kepada pembangkang dengan kemunculan Parti Pribumi BERSATU Malaysia akan membuat perubahan drastik di dalam Pentadbiran Kerajaan Negeri Perak di bawah Barisan Nasional (BN).
Menurut Setiausaha Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak Safarizal Saleh, nama besar seperti Datuk Hamidah Osman yang berperanan semasa ‘rampasan kuasa’ Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat (PR) pada tahun 2009 mungkin boleh ‘membantu’ Pakatan Harapan (PH) ketika ini yang menjalinkan kerjasama dengan Bersatu.
“Tidak mustahil ada ADUN di Perak yang akan beralih arah ke parti yang dipimpin oleh pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamed dan presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lama lagi dan memungkinkan menyokong PH untuk membentuk Pentadbiran Kerajaan Negeri.
“Bagi Pemuda AMANAH Perak, langkah yang sewajarnya diambil untuk menukar Pentadbiran Kerajaan Negeri ketika ini perlu mengikut lunas Undang-undang Tubuh Negeri Perak iaitu melalui Usul Tidak Percaya kepada Menteri Besar Negeri Perak nanti.
“Gunakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sebagai pentas yang akan memutuskan bahawa BN Perak tumbang berikutan kurangnya sokongan daripada ADUN untuk membentuk Pentadbiran Kerajaan Negeri yang telah ditolak.
“Pemuda AMANAH Perak yakin Dato’ Hamidah, Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin adalah ‘pemudah bicara’ bagi memulakan langkah tersebut dan menjadikan Undang-undang Tubuh Negeri sebagai panduan dan bukannya dengan cara ‘pintu belakang’!” kata beliau dalam satu kenyataan.