‘Bukan Pas dakwah Umno, Pas ikut rentak Umno’
Setelah bekerjasama dengan Umno, Pas kini dilihat semakin menjadi Melayu bukannya Umno yang menjadi semakin Islam, kata bekas pemimpinnya yang kini menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah).
Pengarah Komunikasi Amanahnya, Khalid Samad bimbang, kesatuan yang didendangkan sekadar topeng bagi mereka masing-masing (Pas dan Umno) menonjolkan pihak mana lebih Melayu dan Islam.
“Sebabnya apa yang kita nampak sekarang Pas semakin mahu menjadi Melayu bukan Umno yang sepatutnya semakin Islam.
“Padahal, kita mesti bersatu menzahirkan politik Islam yang mementingkan nilai keadilan dan kepedulian membanteras gejala seperti rasuah dan perkauman,” ujarnya ketika ditemui selepas sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam di Seksyen 13 hari ini.
Mengulas tema pakaian pendekar Melayu pada muktamar tahunan Pas tahun ini, beliau menyifatkan penampilan tersebut bertujuan menarik sokongan pengundi Melayu menjelang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, 18 Jun ini.
“Itu lebih kepada penyatuan Pas dengan Umno tetapi ironinya ketika Pas semakin Melayu tetapi Umno tidak pula lebih Islam.
“Patutnya tinggalkan Umno yang tiada asas perjuangan Islam,” tegasnya yang juga pengarang buku ‘Dari Pas ke Amanah’ terbitan Ilham Books.
Sehubungan itu, Khalid yakin pengundi Melayu di kedua-dua Parlimen itu lebih bijak menilai bahawa Amanah lebih konsisten mengangkat perjuangan berteraskan prinsip Islam tanpa menyalahgunakan sentimen sempit perkauman dan agama.