BN hadapi laluan sukar tarik pengundi di Kuala Kangsar
Barisan Nasional dijangka berdepan laluan sukar untuk mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Kangsar, kata Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.
Profesor di Universiti Utara Malaysia itu berkata demikian mengulas kekangan yang dihadapi Datin Mastura Mohd Yazid yang tidak dapat turun berkempen bersama jentera BN kerana masih dalam tempoh iddah.
Azizuddin menjelaskan, halangan yang diletakkan antara Mastura dan rakyat akan menyukarkan pengundi untuk mengenali dan menilai sendiri calon BN itu.
“Saya rasa kehendak kepada undi simpati itu tinggi, sebenarnya tiada kesalahan isteri bekas Ahli Parlimen (Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad) menjadi calon, cuma kebimbangan saya seperti yang di sebut Mufti Perak bahawa beliau (Mastura) tidak perlu keluar rumah dan turun berkempen, bagaimana pengundi hendak mengenali beliau dikala beliau tidak turun berkempen.
“Jadi satu mekanisme perlu difikirkan BN untuk memastikan pengundi mengenal calon,” katanya kepada FMT.
Beliau menambah, peletakkan Mastura sebagai calon BN juga merupakan ujian buat parti itu untuk mengukur sejauh mana sokongan rakyat kepada mereka.
“Sekiranya beliau menang tanpa perlu berkempen, maknanya pangundi telah buat keputusan lebih awal siapa yang perlu undi dan tempoh berkempen tidak banyak membantu kemenangan calon,” katanya.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Mastura yang juga balu Wan Mohammad dipilih sebagai calon BN bagi PRK Kuala Kangsar.
Mastura, 55, menerusi tayangan video berkata beliau tidak dapat menyertai kempen yang dijadual bermula 5 Jun depan kerana masih berada dalam tempoh iddah selama empat bulan 10 hari sebagaimana ditetapkan dalam hukum Islam apabila seseorang wanita kematian suami.
Pada PRU ke-13, Wan Mohammad Khair-il Annuar memperoleh majoriti 1,082 undi menewaskan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah dan calon Bebas, Datuk Kamilia Ibrahim.