Majlis rasmi tidak sebut gelaran MB Terengganu lagi, lapor Harian Metro
Pengacara dua acara yang disertai oleh Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman malam tadi dan hari ini tidak lagi menyebut gelaran beliau sebagaimana biasa, lapor Harian Metro.
"Berdasarkan dua program termasuk persidangan yang sedang berlangsung itu (di Primula Hotel hari ini) gelaran berkenaan tidak disebut oleh pengacara majlis.
"Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom hanya menyebut Menteri Besar dan bukannya Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman," lapor versi online media itu.
Razif dan Sultan Terengganu menyertai majlis perasmian Persidangan Wakaf Senusantara 2016 di Kuala Terengganu pagi ini (gambar) manakala malam tadi Razif menyertai majlis Umno di Dungun.
Dalam laporan itu juga, Harian Metro melaporkan, Ahmad Razif dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Osman Muda terus beredar sebaik selesai majlis perasmian Persidangan Wakaf Senusantara 2016 yang dirasmikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Hotel Primula, di sini, pagi tadi.
Walaupun wartawan bertanyakan mengenai dakwaan penarikan gelaran kebesaran Datuk Seri Menteri Besar itu yang tersebar di laman sosial sejak semalam, Ahmad Razif dan Osman tidak menjawab sebaliknya bergegas meninggalkan majlis.
Semalam, di majlis Himpunan Padu Rakyat Dungun di Dataran Tanah UMNO Bahagian Dungun dan Perasmian Pusat Transformasi Luar Bandar Terengganu di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, pengacara majlis hanya menyebut Menteri Besar.
Malaysia Dateline malam tadi melaporkan, semua gelaran yang diberikan oleh Istana Terengganu kepada menteri itu telah ditarik balik petang Jumaat lepas.
Ekoran itu, berita angin tersebar kononnya Terengganu akan mendapat MB baru tidak lama lagi.
Ada juga khabar angin yang menyebut, pilihan raya negeri (PRN) akan diadakan di Terengganu selepas PRN Sarawak kerana kedudukan yang tidak stabil antara kerajaan dan pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu sekarang.
Umno yang pada awalnya mempunyai 17 Adun kini dikatakan tinggal 14 sahaja selepas tiga darinya dengan diketuai bekas MB, Datuk Seri Ahmad Said menjadi Adun Bebas.
PAS mempunyai 14 Adun manakala PKR mempunyai satu kerusi dalam Dun Terengganu itu.
Pembangkang sepatutnya boleh membentuk kerajaan jika Adun PAS (14) bergabung dengan PKR (1) dan Bebas (3) bagi membentuk kerajaan baru. Namun begitu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengarahkan agar mereka tidak campur tangan.
PAS Terengganu pula dikatakan bersedia untuk menghadapi PRN berbanding membentuk kerajaan bersama Adun BN.