HARAPAN selesaikan isu pertembungan PRN Sarawak selepas 7 Mei
Pakatan Harapan (HARAPAN) akan membincangkan isu pertembungan kerusi DAP dan PKR di Sarawak dan sebarang perkara berbangit selepas pilihan raya negeri 7 Mei, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Ini adalah satu perkara serius yang perlu dibawa ke mesyuarat Pakatan Harapan, katanya.
“Pada 7 April, timbalan presiden PKR Azmin Ali dan saya menandatangani perjanjian rundingan kerusi.
“Beliau tidak boleh mengingkari perjanjian itu, ini mungkin kelihatan bagi orang lain seolah-olah (kamu) makan kata-kata kamu sendiri,” katanya kepada Malaysiakini.
“Ini adalah satu perkara yang serius, kamu tidak boleh mengatakan rundingan itu masih belum dimuktamadkan selepas kamu menandatangani perjanjian.
“Ini perlu untuk dinyatakan (sewajarnya) selepas pilihan raya negeri,” kata beliau dengan tegas.
Azmin secara tidak langsung telah menafikan beliau memungkiri perjanjian antara kedua pihak.
Timbalan presiden PKR itu berhujah beliau hanya bersetuju pada dasarnya untuk menyerahkan lapan kerusi negeri, termasuk lima kerusi yang menyaksikan pertembungan dengan DAP pada 7 April, tanpa sebarang komitmen atau perjanjian dimeterai. DAP bagaimanapun berhujah sebaliknya.
Pada 11 April, Harapan mengumumkan bahawa anggota sekutunya telah mencapai kata sepakat dalam rundingan kerusi.
Keputusan itu bagaimanapun tidak disampaikan secara baik kepada PKR Sarawak yang memveto keputusan rasmi tersebut.
Azmin kemudian dilapor membenarkan pengerusi PKR Sarawak Baru Bian mengeluarkan surat pelantikan kepada calon-calon PKR untuk bertanding di lima kerusi yang dikatakan diperuntukkan untuk DAP.
Lima kerusi itu ialah Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong. Ini telah menyebabkan DAP bertindak balas dengan bertanding di Batu Kitang.