Deklarasi Rakyat perlu pamer kesepaduan pimpinan Umno – PH
Kempen ‘Selamatkan Malaysia’ melalui Deklarasi Rakyat yang ditandatangani pada 4 Mac lalu masih kurang difahami rakyat biasa.
Malah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Amanah Negara Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin beranggapan sesetengah tokoh yang mengkritik pentadbiran Najib tidak menunjukkan keseriusan apabila tidak hadir menandatangani deklarasi berkenaan.
“Amat menghairankan apabila ada setengah pihak yang sepatutnya menyokong matlamat ini akhirnya tidak menyokong pula,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Changkat Jering itu kepada Suara pakatan daily (SPD).
Manakala tinjauan ke atas 15 orang penyokong Pakatan Harapan yang dilakukan SPD mendapati deklarasi itu kurang mendapat sambutan kerana penyokong tidak memahami secara menyeluruh tujuannya.
“Mungkin kerana media arus perdana sangat kurang memberi liputan berkenaan dengan isu deklarasi ini,” kata Kenny Hiew, seorang penyokong DAP, berusia 46 tahun berasal dari Ipoh.
Seorang penyokong parti Amanah, Ramlah dari Bandar Menjalara, Kepong pula berpendapat deklarasi itu kurang ditandatangani wakil-wakil rakyat, justeru impaknya agak kurang.
Bagi mereka, langkah seterusnya yang perlu dilakukan adalah mempromosi gerakan Selamatkan Malaysia secara besar-besaran ke seluruh negara sebagaimana Pas dan DAP mempromosi gerakan Reformasi melalui gabungan longgar NGO dan parti politik, GERAK, pada 1998 dahulu.
Selain itu, pemimpin Umno dan Pakatan Harapan juga, kata mereka, perlu melakukan road show bersama. Menurut mereka, hanya dengan kemunculan Dr Mahathir dan Muhyiddin di pentas pembangkang sahaja akan mampu membawa ahli Umno berfikir di luar kotak dan melakukan perubahan dalam pilihan raya.