PH perlu kemuka dasar ekonomi ganti DEB untuk tarik undi Melayu
Ketakutan terhadap momokan Cina boleh menakutkan pengundi Melayu dengan membuang kemarahan mereka ke tepi dan memilih Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pilihan raya berikutnya.
“Pakatan Harapan boleh berharap mengekalkan kawasan-kawasan bercampur campur majoriti Cina dan bandar di pantai barat.
“Tetapi semua kerusi lain bergantung sekiranya orang Melayu lebih marah dengan Najib atau lebih takut dengan momokan Cina,” kata Fellow di Penang Institute, Wong Chin Huat kepada Malaysiakini.
Beliau menambah ketakutan inilah yang telah menyebabkan Umno mengekalkan kuasa.
“Umno seperti seorang bomoh (pawang) Melayu yang bertahan di atas kebimbangan terhadap hantu Cina. Sebaik saja Cina berhenti jadi hantu menakutkan, bomoh akan hilang kerja dia,” kata Wong.
Bagi mengatasi perkara ini dan memenangi orang Melayu, penganalisis itu berkata pembangkang mesti menyelesaikan kedudukan mengenai Islam dan ekonomi pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Pakatan Harapan, katanya, tidak boleh kekal tidak jelas mengenai isu-isu seperti sebelum ini, dan perlu membuat pendirian mengenai isu-isu seperti hudud, penukaran agama, dan hak penjagaan anak.
Beliau berkata mereka juga perlu mencari alternatif kepada DEB, kerana berakhirnya dasar itu menyebabkan kebimbangan yang lebih besar di kalangan orang Melayu, walaupun ia gagal.
Pendirian mengenai isu-isu ini akan menjadikan Pakatan Harapan berdaya maju dan boleh diterima sebagai alternatif kepada BN yang pro-Melayu, Wong berhujah.
“PAS dan kuasa-kuasa ketiga yang lain akan dipinggirkan. Pakatan Harapan mungkin mempunyai peluang yang baik untuk mengambil Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, selain mengekalkan Pulau Pinang dan Selangor, walaupun ia masih gagal untuk menawan Putrajaya,” katanya.