Sokongan Hadi terhadap Najib atasi keperluan sokongan pemimpin UMNO


NAJIB_HADI_MULTAQA
SELAYANG  21 DIS: Sokongan terbuka Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Datuk Seri Najib Razak termasuk mempertahan Perdana Menteri itu dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meninggalkan kesan besar terhadap landskap politik negara.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyifatkan sokongan tidak berbelah bahagi Abdul Hadi itu sebagai sesuatu yang kuat dan mengatasi sokongan yang diperlukan Najib daripada pucuk pimpinannya sendiri.
“Dengan sokongan Presiden PAS yang begitu kuat, Najib tak perlukan pemimpin UMNO atau menterinya sekalipun untuk pertahankan beliau,” katanya pada majlis makan malam di Selayang, baru-baru ini.
Mei lalu, Abdul Hadi menasihati Najib supaya tidak tunduk terhadap desakan supaya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, malah Hadi meminta Najib supaya terus kekal berkuasa.
Julai lalu, Abdul Hadi turut menolak dakwaan Wall Street Journal (WSJ) terhadap Najib berkaitan ‘derma’ RM2.6 billion yang kononnya disumbangkan seorang perderma dari Timur Tengah.
Terbaru, Abdul Hadi dan Najib semalam dilihat hadir bersama pada Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia di Kuala Lumpur dan antara agenda program tersebut adalah melihat UMNO dan PAS bersatu kononnya demi penyatuan ummah.
Menyatakan pendedahan terbaharu WSJ sebagai sesuatu yang mengemparkan di tengah-tengah kemelut skandal yang tidak henti-henti melanda kebelakangan ini, Kit Siang berkata:
“Pendedahan WSJ mengaitkan 1MDB itu bukanlah satu-satunya perkara mengemparkan. Lebih mengemparkan ialah sokongan Hadi yang seolah-olah menjuarai isu Najib, mengatasi yang harus dilakukan pucuk pimpinan Najib sendiri.”
Laporan WSJ itu menyatakan satu unit 1MDB memindahkan sekurang-kurangnya AS$850 juta melalui tiga urus niaga tahun lalu kepada sebuah syarikat berdaftar di Kepulauan British Virgin.


ROKETKINI