‘Idea dua gabungan pembangkang ibarat kembali ke sekolah rendah’
Posted By: Pentadbir
Parti Amanah Negara (Amanah) menolak idea 2 gabungan pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata pengarah komunikasinya, Khalid Samad.
Katanya, idea itu yang pernah digunakan pada tahun 90-an dahulu tidak perlu lagi digunakan pada masa kini.
“Buat apa lagi kita hendak ada 2 gabungan pembangkang kalau kita sudah ada Pakatan Harapan?
“Ia ibarat kita sudah ada ijazah universiti tetapi kita kembali ke sekolah untuk belajar lagi,” kata Khalid pada sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang, yang dilaporkan The Malay Mail Online mencadangkan 2 gabungan pembangkang seperti Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Gagasan Rakyat (GR) pada tahun 1990.
“Satu-satunya cara adalah dengan PAS berada bersama kami (Pakatan Harapan) atau kita adakan perjanjian pilihan raya dengan PAS,” kata ahli Parlimen Shah Alam itu.
Pada Oktober, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan mencadangkan perkara sama di Selangor, ketika menegaskan pendirian parti Islam itu meneruskan kerjasama dengan PKR dalam mentadbir negeri itu.
Katanya, walaupun PAS tidak bersama Pakatan Harapan, kerajaan negeri itu boleh ditadbir 2 gabungan pembangkang serentak, mengambil contoh ketika kewujudan parti Semangat 46 di Kelantan pada 1990.
“Dalam Semangat 46, kita ketika itu ada 2 pakatan. Ada pakatan antara Semangat 46 dan PAS daripada Angkatan Perpaduan Ummah untuk mentadbir Kelantan,” katanya.
Bagaimanapun, cadangan itu dilaporkan ditolak Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua, yang meminta PAS melupakan nostalgia parti itu masih wujud dalam Pakatan Rakyat (PR)