Pakatan Harapan kecewa Pas enggan tolak Bajet 2016
Pakatan Harapan membidas sikap PAS yang berkecuali untuk menolak Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Whip parlimen bagi ketiga-tiga gabungan parti pembangkang – PKR, DAP dan AMANAH – itu menyifatkan tindakan PAS itu “tidak wajar” diambil oleh pihak pembangkang ketika ini.
“Ini kerana bajet itu merupakan perlaksanaan dasar-dasar kerajaan BN yang tidak dipersetujui. Ini bukan sekadar aspek cara kutipan hasil tetapi juga keutamaan dalam penggunaan wang rakyat.
“Oleh itu ia ditolak dan ditentang. Sikap berkecuali tidak akan membantu rakyat terbanyak dan menjadikan kehadiran di Parlimen tidak bermakna,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Kenyataan itu ditandatangani ketua Whip PKR Datuk Johari Abdul, Loke Siew Fook (DAP) dan Khalid Abd Samad (AMANAH).
Mereka berkata penolakan bajet oleh pembangkang adalah amalan biasa dalam sistem demokrasi berparlimen dan ia bukan perkara aneh ataupun baru kerana Pakatan Rakyat termasuk ahli Parlimen PAS menolak bajet yang dibentang kerajaan sebelum ini.
“Ia dilakukan melalui tindakan belah bahagi selepas sahaja bajet dibentangkan. Walaupun ia ditolak pembangkang, undi menyokong dari ahli Parlimen BN melebihi undi pembangkang dan dengan itu ia diluluskan.
“Tahun ini keadaannya sedikit berbeza. Ini adalah kerana ada kemungkinan bajet akan ditolak apabila undi sokongan dari Ahli Parlimen BN dikatakan tidak padu dan ada yang diberitakan akan menolaknya,” katanya.
ketiga-tiga pemimpin itu turut berpendapat penolakan bajet itu sebagai pukulan hebat kepada Najib dan Kabinet serta boleh menjadi undi tidak percaya terhadap Najib.
“Kemungkinan besar usul undi tidak percaya yang dicadangkan oleh Ketua Pembangkang tidak akan diangkat untuk perbahasan oleh pihak kerajaan. Oleh itu tindakan penolakan bajet boleh menjadi penggantinya,” kata mereka.
Penolakan itu juga dilihat sebagai peluang keemasan membetulkan bajet yang membebankan rakyat dengan mengemukakan atau membuat pindaan, kata mereka
Antaranya kadar GST dapat disifarkan, mengutamakan pembasmian rasuah, kronisme, dan subsidi serta bantuan yang lebih bermakna kepada rakyat dapat dilaksanakan.