Oleh: Shahbudin Husin
Selepas
515 hari, Perdana Menteri Najib Razak malam tadi mengumumkan bahawa
serpihan yang ditemui di Pulau Reunion, berhampiran Madagascar adalah
sah milik pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac 2014 lalu.
Katanya,
dengan pakar-pakar antarabangsa telah mengesahkan hakikat itu, ia
setidak-tidaknya dapat memberi kepastian kepada keluarga mangsa seramai
239 orang yang berada dalam pesawat tersebut.
Dalam
masa yang sama, Najib memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus
berusaha mencari kebenaran di sebalik tragedi yang menyayat hati itu.
Meskipun serpihan itu disahkan milik MH370, beberapa misteri kekal menyelubungi kita semua. Antaranya:-
- kenapa pesawat yang dipandu dari Kuala Lumpur ke arah Beijing itu dilencongkan ke arah lain?
-
di mana lokasi sebenar MH370 terhempas masih lagi tidak diketahui, yang
ditemui hanyalah serpihan sayap kapalterbang itu yang mungkin hanyut
lalu akhirnya berlabuh di Pulau Reunion.
- adakah pesawat itu dirampas pengganas, terhempas kerana masalah teknikal yang dihadapinya atau berpunca dari sebab-sebab lain?
-
kenapa radar gagal mengesan pergerakan pesawat itu bermula daripada
laluan asal yang sepatutnya dilalui iaitu Laut China Selatan hinggalah
ia melencong lalu hilang di Lautan Hindi?
Semua
perkara ini akan terus menjadi misteri untuk sekian lama sehinggalah
pasukan penyiasat dapat mengesahkan perkara yang sebenarnya. Tetapi
tidak mustahil juga ia akan kekal misteri untuk selama-lamanya.
Dengan
pengesahan MH370 ini dilakukan di saat-saat semua orang bercakap
mengenai wang derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi
Najib, persamaan misteri antara kedua-duanya tentu saja tidak dapat
dielakkan.
Walaupun disahkan oleh SPRM mengenai wang tersebut, misteri yang kekal bersarang ialah:-
- siapakah penderma murah hati dan budiman itu?
- apakah tujuan penderma memberi wang sebanyak itu kepada Perdana Menteri?
- di manakah baki wang RM2.6 bilion itu? Masih ada, sudah habis atau disimpan di tempat lain?
-
jika wang RM2.6 bilion dibahagi sama rata dengan 222 kawasan Parlimen,
setiapnya akan memperolehi lebih RM11.7 juta. Kalau cuma diagihkan
kepada 191 bahagian UMNO pula, setiap satunya akan mendapat kira-kira
RM13.6 juta. Adakah mereka yang terbabit memperolehi sebanyak itu?
-
andai kata dalam pilihanraya ke 13 lalu, setiap bahagian atau calon
yang bertanding di 222 kawasan Parlimen cuma diberikan RM2 juta (menurut
beberapa bekas Ahli Parlimen, jumlah ini pun sudah dikira terlalu
besar), bermakna tidak sampai RM600 juta telah dibelanjakan. Di mana
RM2,000 juta lagi?
Walaupun
Najib kelihatan sedih ketika mengumumkan mengenai pengesahan serpihan
MH370 malam tadi, rakyat Malaysia secara umumnya lebih sedih jika
misteri wang RM2.6 bilion tidak dirungkai dengan sebenar-benarnya.
Sama
seperti MH370, terlalu banyak misteri dan ketidaklogikan di sebalik
jumlah wang sebesar itu meskipun ia disahkan SPRM cuma sekadar derma dan
seolah-olah sudah bertukar wang halal jadinya.
Apatah
lagi, sementara kebenaran sedang dicari, bukannya suspek yang dicari
tetapi pasukan penyiasat pula yang digeledah untuk diburu bukti.
Hakikatnya,
yang berbeza ialah jika tragedi MH370 telah menyatukan semua hati-hati
manusia di negara kita tanpa mengira kaum dan agama, sebaliknya misteri
RM2.6 bilion ini menyebabkan lebih perpecahan serta kehancuran di hati
yang sama tentang makna sebenar sebuah kebenaran yang nampaknya ghairah
cuba ditutup daripada didedahkan. (SH 06/08/2015)