Anwar seru rakyat bersatu selamatkan negara
KUALA LUMPUR 22 JULAI: Ketua Umum KEADILAN, saudara Anwar Ibrahim menyeru rakyat bersatu dan bertekad demi menyelamatkan negara yang berdepan pelbagai krisis genting.“Negara kita terus berada di dalam krisis yang semakin teruk, manakala kerajaan BN terus menafikan keadaan ini. Nilai mata wang ringgit merudum, tatkala rasuah dan skandal kewangan mencapai tahap yang belum pernah disaksikan sejak merdeka lagi.
“Di saat genting ini, rakyat Malaysia perlu bersatu dan bertekad untuk menyelamatkan negara kita,” kata Anwar dalam perutusan kepada rakyat Malaysia melalui peguamnya semalam.
Beliau berkata, pihaknya sedang berusaha mewujudkan muafakat politik yang lebih utuh, dan akan bekerjasama dengan semua gerakan progresif termasuk NGO seperti Bersih, Abim, Ikram dan Gerakan Harapan Baru yang baru sahaja diwujudkan.
Permuafakatan ini menurutnya merupakan kesepakatan kumpulan-kumpulan yang komited kepada reformasi dan perubahan, yang akan memberikan pilihan yang benar-benar demokratik dan adil kepada rakyat.
“Marilah kita ketepikan segala pertimbangan dan perbezaan yang lain dan berikan fokus kepada perjuangan untuk menyelamatkan Malaysia,” kata Anwar lagi yang dipenjarakan hari ke-163 pada hari ini sebagai tahanan politik.