PRK Permatang Pauh: GST mula menampar BN

PRK Permatang Pauh: GST mula menampar BN
PRK Permatang Pauh: GST mula menampar BN

PRK Permatang Pauh: GST mula menampar BN

Naib Presiden Umno Zahid Hamidi berpuas hati dengan kemerosotan 3,000 undi majoriti buat PKR pada pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh. Pada pilihan raya umum (PRU) ke 13, calon PKR ketika itu Anwar Ibrahim mencatat majoriti kira-kira 11,000 undi namun semalam Dr Wan Azizah hanya mendapat 8,841 undi.

Sesungguhnya Umno adalah parti degil dan tidak memandang fakta sebagai tonggak hujah. Suasana mengundi pada hari bekerja tidak boleh disamakan dengan PRU yang dilakukan pada hari bercuti.
Sekiranya Zahid mengkaji lebih mendalam maka mereka akan mendapati kekalahan BN dengan majoriti 8,000 undi adalah tidak masuk akal. Sepatutnya BN hanya kalah sekitar 2,000 undi sahaja. Jentera BN di Permatang Pauh sangat besar dan memberi gula-gula politik yang banyak.

Menteri samseng

Pelbagai janji peruntukan dan hadiah kempen diberi kepada penduduk. Tidak cukup dengan itu Menteri Pertanian berlagak samseng, berjanji akan menghalau Wan Azizah dari lobi kementeriannya di Putrajaya sekiranya wakil pembangkang itu datang meminta projek pertanian. Pengundi Permatang Pauh hanya akan mendapat peruntukan pertanian sekiranya memenangkan calon BN dan bukan sebaliknya.

Di kawasan bukan kubu pembangkang ugutan seperti itu akan membuat pengundi menyembah BN. Namun tidak di Permatang Pauh yang terkenal dengan sifat melawan penduduknya.
BN juga harus merasa malu dengan kemenangan awal yang diisytihar pada 6 Mei lalu, kononnya PKR kalah kerana tidak mampu menyediakan manifesto buat pengundi. Walaupun PKR berhujah manifesto BN biasanya tidak akan ditunaikan namun tanpa manifesto, PKR dilihat seolah-olah tidak bersedia untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat.

BN menyediakan pukulan maut di kawasan Melayu apabila penceramah bebas Kazim Elias dijadikan kuda tunggangan pada hari-hari terakhir kempen. Kazim dengan tegas meminta pengundi menolak Dr Wan Azizah kerana beliau menolak Hudud. Kata Kazim orang yang menolak Hudud cenderung untuk berlaku zalim. Kazim terlupa banyak ahli parlimen Umno yang mempersenda Hudud tetapi tidak dianggap zalim semata-mata kerana mereka memegang banyak peruntukan!

Pemulauan PAS

Lebih memalukan lagi, BN juga gagal memanfaatkan pemulauan kempen oleh Pemuda PAS. Pada peringkat awal, pemuda telah melakukan gerak kerja rumah ke rumah untuk memujuk agar pengundi Melayu jangan menyokong Wan Azizah.

Bagaimanapun, kempen itu gagal diteruskan BN dengan baik selepas pemuda PAS menghentikan boikot. BN juga didakwa menggunakan PAS Bagan untuk melakukan tunjuk perasaan pada hari Jumaat terakhir agar 10,000 ahli PAS tidak keluar mengundi. Sehingga sehari sebelum mengundi, PAS cawangan Bagan sekali lagi menganjurkan tunjuk perasaan menentang Wan Azizah.

Degan faktor-faktor seperti itu BN yakin mereka akan mengurangkan dengan teruk majoriti PKR. Sekiranya majoriti di bawah 4000 maka BN akan mengumumkan kebangkitan parti itu di Pulau Pinang.

GST malaikat maut

Malangnya, BN terlupa mereka telah memperkenalkan cukai GST. Cukai itu amat dirasai keperitannya di kalangan pengundi. Walaupun hanya 73 peratus keluar mengundi namun pengundi pelbagai kaum memberi isyarat jelas kepada BN bahawa mereka sakit hati dengan cukai yang membebankan.

Analisis awal menunjukkan undi PKR meningkat 3 – 4 peratus di kawasan Melayu. Sekali gus mencemarkan imej Umno yang bermati-matian memburukkan PKR di mata kaum itu malah dengan menggunakan ahli PAS.

Kemerosotan sokongan kepada PKR dalam lingkungan 3,000 undi tidak boleh diimbangi dengan kemerosotan undi BN lebih 4000 berbanding PRU lalu. Ini menunjukkan pengundi BN sama ada memberi undi kepada PKR atau memulaukan pengundian.

Apa pun alas an BN untuk menegakkan benang basah, mereka pasti akan menghadapi post mortem yang tidak menyenangkan selepas ini. GST dalam dua bulan pertama perlaksanaan telah menunjukkan kesan negatif di Permatang Pauh dan Rompin.

Di kedua-dua tempat undi Melayu kepada pembangkang meningkat. Sekali gus membenarkan teori Dr Mahathir BN akan kalah dalam PRU ke 14. Pada PRU lalu undi Cina kepada Pakatan Rakyat adalah 90 peratus, India kira-kira 65 peratus. Hanya undi Melayu yang menyelamatkan BN. Mereka mendapat kira-kira 56 peratus undi kaum itu.

Masa depan BN gelap

Oleh kerana Melayu pengundi terbesar maka BN dengan mudah mendapat simple majority untuk membentuk kerajaan. Pakatan Rakyat membuat analisa BN akan hilang kuasa jika PR mendapat tambahan 5 peratus undi dalam PRU 14.

Peningkatan 5 peratus sokongan Melayu di Permatang Pauh dan 10 peratus di Rompin adalah jelas kawasan-kawasan yang dimenangi BN di bawah 2,000 undi akan lenyap.

Menjelang dua tahun lagi, GST akan menambah kenaikan harga yang tidak tertanggung dan BN akan menemui takdir yang lebih buruk. Permatang Pauh mengajar BN bahawa mereka tidak boleh menggunakan ahli PAS mensabotaj PR.

Juga ugutan menggunakan fatwa agama oleh ulama tersohor tidak laku sekiranya poket rakyat tiris dan hidup menderita!