Makcik Felda Pun Dah Faham....



UMNO kini seperti telah terperangkap dengan jeratnya sendiri. Setelah selama ini bermati-matian menafikan tiada konspirasi politik dalam kes liwat melibatkan Anwar Ibrahim dengan Saiful Bukhari Azlan, kini segala-galanya bagaikan terdedah satu persatu.

Jika sebelum ini, bermula dengan kunjungan Saiful ke rumah Najib Razak untuk mengadu diliwat sebelum membuat laporan polis dan perlantikan Shafee sebagai timbalan pendakwaraya sudah pun dikaitkan dengan motif politik, namun selepas Anwar dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun, unsur politik itu semakin tidak mampu disembunyikan lagi.

Kesediaan Shafee mengiklankan dirinya dan bercakap secara terbuka serta terperinci mengenai kejadian liwat yang didakwa berlaku antara Anwar dengan Saiful setelah hukuman dijatuhkan, akhirnya menyedarkan rakyat bahawa itulah antara tujuan utama perlantikannya.

Sudah tentu jika pasukan daripada Jabatan Peguam Negara yang mengetuai pendakwaan kes liwat itu, adalah mustahil mereka boleh terus bercakap dengan media atau tampil di forum anjuran parti politik sebaik kes berakhir dan hukuman sudah dijatuhkan.

Mereka pasti akan tutup buku dan menumpukan kepada kes yang lain pula. Tetapi kerana Shafee yang yang dilantik, semuanya jadi berbeza. Beliau melakukan apa yang tidak mungkin dilakukan jika Gani Patail misalnya mengetuai pendakwaan.

Setelah mengadakan pelbagai temubual dengan media dan bercakap di forum anjuran Pemuda UMNO, Shafee juga bersetuju untuk turun ke seluruh negara bersama Pemuda UMNO untuk terus bercakap lagi mengenai keburukan Anwar.

Sebagaimana yang beliau bercakap dalam dialog anjuran AKHI tempohari, yang dikisahkannya dalam jelajah itu nanti tentunya lebih kepada cerita-cerita dalam seluar yang semata-mata bertujuan memburuk-burukkan peribadi serta untuk mengasingkan lagi Anwar daripada sokongan rakyat.

Tidakkah ia sebenarnya bersifat politik?

Tidak cukup dengan itu, Shabery Cheek pula tampil menyatakan kesediaan RTM menyediakan ruang di televisyen bagi forum terbuka atau debat yang melibatkan Shafee itu. Sudah tentu tujuannya ialah supaya lebih ramai dapat mengetahui cerita-cerita sensasi yang didakwa melibatkan Anwar dan Saiful.

Sekali lagi, pastilah tujuannya untuk manfaat politik UMNO juga.

Kenapakah ketika ini RTM pihak begitu pemurah dan ghairah mahu memberi ruang kepada agenda membelasah Anwar sedangkan beliau sudah pun dihukum penjara?

Tidak cukup lagikah kejayaan memenjarakannya selama lima tahun itu?

Tetapi dengan AJK Pas Pusat, Hanipa Maidin sudah menyahut cabaran untuk ikut serta dalam forum atau debat itu, kita tentu ingin mengetahui sama ada ruang di RTM itu masih terbuka atau sebaliknya.

Di sisi yang lain, jika UMNO selama ini mengatakan kes liwat ini adalah hal peribadi antara Anwar dengan Saiful, kenapakah setelah beliau dipenjara dan tidak mampu melawan lagi, serangan dan belasahan yang bertujuan mengaib dan memburuk-burukkannya lebih dahsyat dan tersusun lagi?

Bukankah ia sepatutnya dibiarkan berakhir seadanya saja? Apa lagi yang mahu dibuktikan kepada rakyat dengan pemenjaraan itu?

Kalau alasan adanya pertikaian banyak pihak mengenai hukuman yang diterima Anwar menjadi sebab perlunya Shafee terus diheret dan dijadikan "model produk iklan", pembebasan Razak Baginda daripada tuduhan bersubahat membunuh Altantuya juga dipertikaikan?

Dalam masa yang sama, hukuman mati yang diterima Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar atas tuduhan membunuh model Mongolia itu sedangkan tiada motif diketahui dan siapa yang memberi arahan juga masih misteri, turut menjadi pertikaian ramai?

Kenapa tiada program jelajah atau penerangan ke seluruh negara mahu diadakan?

Berbuih sekali pun mulut pemimpin UMNO berhujah mengatakan tiada unsur politik dalam kes Anwar ini, tetapi yang nyata dan makin difahami oleh ramai orang adalah sebaliknya. Semuanya tersingkap satu demi satu oleh perjalanan masa.

Tidak ada sesiapa lagi, termasuk makcik Felda atau pengundi tua di hujung kampung yang tidak memahami bahawa kepentingan politik adalah segala-galanya kerana setelah jasad Anwar dipenjara, rupa-rupanya pengaruh politiknya juga yang ditakuti. ( SH 19/02/2015)
 
 
23 comments: 

 

No comments: