“Jika kita salahkan Anwar, kita sama seperti Umno”


 
Rafizi ibaratkan PKR berada di dalam kapal perang dan jika kapal itu karam, kita akan karam bersama.
anwar-ibrahim-wan-azizah-2010-2-1-21-10-18

SHAH ALAM: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata tindakan sesetengah anggota di dalam parti PKR mengkritik pemimpin sendiri lemah merupakan satu cabaran yang sangat kuat.

Rafizi juga menegaskan setiap anggota parti berhak untuk mengkritik, tetapi jangan sampai sama seperti Umno yang sentiasa mengkritik pimpinan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jika kita salahkan Anwar, kita sama seperti Umno yang menyerang parti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Kongres Nasional KEADILAN ke-10 PKR.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, serangan nepotalisme terhadap, Naib Presiden PKR yang baru Nurul Izzah Anwar juga adalah serangan daripada anggota parti PKR sendiri.

“Jika kita tidak sokong parti kita sendiri, lebih baik keluar daripada parti. Kita tidak mahu lagi dengar suara sumbang dengan perkataan nepotalisme dalam parti.

“Janganlah kita kritik Nurul Izzah kerana dia telah melakukan satu pejuangan yang betul,” jelasnya.
Tegas Rafizi lagi, semua anggota PKR ibarat berada di dalam kapal perang.

“Jika kapal karam, kita akan karam bersama. Di atas kapal ini, tujuan kita adalah untuk memerangi Umno.

“Jadi setiap anggota haruslah berperanan untuk menjalankan peranan masing-masing dalam peperangan ini. Bukannya dengan menyerang sesama kita di dalam kapal ini,” kata Rafizi yang ibaratkan PKR sedang berada di dalam kapal perang masa ini.

Ujarnya lagi, PKR harus mengekalkan momentam dan merapatkan Saf untuk menentang Umno.
“Kita perlu tahu, walaupun pelbagai rintangan yang telah kita lalui, tetapi kita tidak pernah karam.
“Kita akan pastikan kapal PKR ini akan terus belayar sampai ke Putrajaya,” katanya mengakhiri ucapannya.