PKR bidas The Mail, tidak relevan kait dengan Anwar

KAJANG: PKR hari ini membidas laporan media antarabangsa The Mail yang mengaitkan kapten Zaharie Ahmad Shah, juruterbang pesawat MAS MH370 dengan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden PKR, Tian Chua pada sidang media memberitahu adalah tidak relevan untuk mengaitkan insiden itu dengan Anwar.

Malah, beliau mendakwa maklumat yang disiarkan itu tidak benar dan hanya bersifat tanggapan yang tiada bukti kukuh.

"Ini isu keselamatan MAS, tidak releven langsung untuk dikaitkan dengan Anwar atau PKR," katanya di Bilik Gerakan Utama Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah mengakui bahawa Kapten Zaharie adalah ahli PKR, namun tidak wajar untuk dikaitkan insiden tersebut dengan PKR.

Beliau bagaimana pun berkata bersedia untuk memberi kerjasama jika dipanggil oleh pihak polis.

"Zaharie sama seperti ahli yang lain, beliau menyertai PKR pada Januari tahun lalu di Cabang Subang. Isu ini tidak boleh kaitkan dengan PKR," tegasnya.