Anwar: Dasar BN untungkan elit Melayu dan kroni

Anwar: Dasar BN untungkan elit Melayu dan kroni


dsai-oxbridgeKUALA LUMPUR 9 JAN: Dasar ekonomi kerajaan Barisan Nasional hanya menguntungkan kelompok elit Melayu dan kroni, bukannya majoriti rakyat Malaysia berbangsa Melayu di semenanjung atau bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Justeru, Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan tentang konsep keadilan Islam yang turut diperjuangkan Pakatan Rakyat fokus kepada bantuan untuk mereka yang berhak, bukannya atas dasar warna kulit dan agama.

“Contohnya DEB (Dasar Ekonomi Baru) yang dikatakan memberi manfaat kepada orang Melayu. Ini tidak sepenuhnya benar. Kerana dasar ini hanya menguntungkan segelintir elit Melayu,” kata Anwar dalam sesi soal jawab bersama ahli Oxford & Cambridge Society Malaysia malam tadi.
oxbridge_malaysia
Ahli Oxford & Cambridge Society Malaysia dalam dialog bersama Anwar
Justeru kata Anwar, masyarakat bukan Melayu di negara ini jangan terperangkap dengan propaganda melalui reaksi semberono, seolah-olah hanya orang Melayu yang dibela.

“Sebab itu saya seru kepada anak muda berbangsa Cina untuk menangani isu ini dengan cermat. Kerana yang sebenarnya berlaku adalah eksploitasi (ekonomi) atas nama Melayu.

“Kita kena faham bahawa orang Melayu selain bumiputera di Sabah dan Sarawak adalah golongan majoriti termiskin di negara ini. Ini isu paling asas dan kritikal,” ujarnya.

Tambah Anwar, melalui dasar ekonomi Pakatan Rakyat, semua rakyat di negara ini mempunyai peluang saksama, manakala yang lemah dan ketinggalan terus dibela.

“Ini isu penting untuk memastikan kedudukan dan masa depan mereka terjamin. Semua punya peluang sama rata, manakala kelompok majoriti mendapat manfaat,” kata Anwar.

Tambahnya, dasar kerajaan hari ini seolah-olah meletakkan orang Melayu dalam keadaan minda terkepung (siege mentality) yang hanya mempertahankan kepentingan elit.


“Hal ini melangkaui dari sekadar apa yang kita pelajari (di universiti),” tegasnya