Apa yang kerajaan ‘pakat’ dengan Lynas? – Fuziah
Ahli parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mempersoalkan sama ada kerajaan Malaysia telah ‘berpakat’ dengan Lynas kerana kenyataan yang bercanggah berhubung bahan buangan sisa toksik radioaktif.Fuziah membandingkan kenyataan media Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).
Menurut Fuziah, Setiausaha Eksekutif AELB pada 8 September 2012 menyatakan Lynas wajib mengeluarkan sisa radioaktif dari Malaysia.
“Maksudnya AELB dan Mosti berkata, sisa mesti dikeluarkan daripada Malaysia. AELB menyatakan Lynas telah memberi surat terima untuk mengeluarkan sisa daripada Malaysia,” kata Fuziah di Dewan Rakyat hari ini.
Namun menurut Fuziah, dalam syarat Lesen Pengoperasian Sementara (TOL) Lynas perlu menyediakan tapak pelupusan sisa kekal (PDF) dalam masa 10 bulan.
Justeru Fuziah menyimpulkan, berdasarkan syarat tersebut, tapak pelupusan sisa kekal berada di negara ini.
“Bila kita tanya dimana tapak PDF, ia tidak diberitahu. Kalau (sisa) kena bawa keluar negara, ia perlu dibawa keluar negara.
“Sekarang, timbul laporan daripada Lynas untuk mengitar semula sisa dalam bentuk baja, nak buat jalan, nak buat gypsum boards.
“Ini bercanggah dan berbeza. Rakyat Malaysia dan Kuantan khususnya perlu tahu. Apa yang sebenarnya berlaku. Kerajaan dah ‘pakat’ dengan Lynas?, soal Fuziah