Umno DENGAR INI PESANAN

Barisan Nasional mesti bijak adun strategi — Jeniri Amir

 
 Bukan dengan baling batu,kayu dan telor.bukan dengan fitnah....rakyat dah bijak.





March 17, 2013
17 MAC — Pola politik berbeza perlu diambil kira

Landskap politik berubah ekoran anjakan politik daripada politik lama kepada baru. Politik lama banyak ditentukan oleh sejauh mana parti politik dan calon dapat membawa pembangunan. Namun, dalam politik baru, pembangunan bukan lampu ajaib untuk menawan pengundi. Pengundian dalam politik lama berlaku atas garis etnik, tetapi politik baru merentasi sempadan etnik. Ramai pihak beranggapan politik baru muncul dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) di Malaysia. Hakikatnya, benih awal politik baru menjelma sejak PRU-1999 ketika negara dilanda kegawatan ekonomi dan politik. Negara kita sudah banyak berubah terutama sejak 15 tahun lalu. Struktur masyarakat beranjak ekoran pelbagai dasar ekonomi, sosial dan pendidikan. Justeru, lahir lebih banyak golongan kelas menengah. Sebahagian kelas menengah ini berasal dari luar bandar. Hasil kejayaan pendidikan terutamanya, berlaku bukan saja mobilisasi mendatar, tetapi juga menegak. Maksudnya, berlaku peningkatan dari segi sosioekonomi.
“Kita harapkan kempen BN lebih pelbagai dan kreatif, slogan kempen lebih segar, poster lebih bermaya serta bergaya, bukan poster kempen 1960-an”
Politik lebih responsif 
Dalam politik baru, pengundi tidak lagi sekadar tertarik dengan janji dan rancangan pembangunan. Mereka mahu melihat parti politik yang responsif terhadap aspirasi dan tuntutan mereka.
Pengundi terutama muda melihat lebih jauh berbanding mana parti dan wakil rakyat dapat melaksanakan projek pembangunan jalan raya, klinik, sekolah atau bekalan air dan elektrik.

Pendidikan, ekonomi dan media baru, khususnya media alternatif menyebabkan perubahan dari segi pendirian politik mereka. Kesan ledakan teknologi maklumat mentransformasikan hampir semua bidang. Di negara luar, termasuk di Asia Barat, kita akui bagaimana generasi muda yang sekadar menggunakan telefon bimbit berupaya mengubah landskap sosiopolitik. Kerajaan menyedari kempen politik klise dan tradisional tidak lagi relevan. Untuk itu, kita mengharapkan kempen politik Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang lebih pelbagai dan kreatif, slogan kempen lebih segar, poster lebih bermaya dan bergaya, bukan poster kempen ala 1960-an. Papan iklan kempen perlu lebih serasi dengan kehendak semasa. Manifesto juga patut lebih kreatif dari segi persembahan, terutama dari segi reka bentuk dan penampilan. Sudah pasti, kesilapan lalu tidak menggunakan semaksimum mungkin media baru perlu dielakkan.

Bagi pengundi era politik baru, yang jauh lebih penting adalah bagaimana parti dan calon dapat membawa pembaharuan. Isu tabir urus yang baik, ketelusan, akauntabiliti, keupayaan menangani rasuah dan penyelewengan menjadi perhitungan utama dan bukan lagi soal keupayaan menyelesaikan masalah yang dianggap remeh-temeh.

Tetapi di luar bandar Sabah dan Sarawak politik baru belum menonjol. Politik pembangunan masih menawan pengundi. Ada 5,000 penempatan terdiri daripada kampung tradisional dan rumah panjang. Lebih daripada 50 peratus kawasan itu mempunyai sekitar 30 keluarga saja. Kejayaan parti untuk menawan hati pengundi sebahagian besar ditentukan rekod silam dan keupayaan membawa pembangunan serta menunaikan janji.

Adunan strategi 

Media konvensional masih penting. Bagi pedalaman Sabah dan Sarawak, radio dan televisyen menjadi sumber politik utama. Politik di luar bandar dan rumah panjang di kedua-dua negeri itu, memerlukan adunan strategi lama dan baru. Bagi politik baru, penggunaan internet, Facebook, blog dan khidmat pesanan ringkas (SMS) penting untuk meraih undi. Di Sarawak pembangkang mendekati rakyat melalui radio kerana mereka menyedari radio sumber utama politik penghuni rumah panjang.

Kehadiran Radio Free Sarawak tidak disenangi kerajaan Sarawak kerana disifatkan menyemarakkan sentimen rakyat. Bagaimanakah kerajaan dapat menangkis wacana politik disebarkan melalui radio alternatif itu? Memadaikah sekadar menasihati rakyat di luar bandar mengelak daripada mendengar radio terbabit? Radio itu memaparkan isu yang dekat di hati rakyat termasuk isu tanah adat dan kekurangan pembangunan di kawasan mereka.

Pelbagai kehendak kontemporari telah menyaksikan kerajaan melakukan perubahan. Perdana Menteri melakukan banyak reformasi termasuk reformasi politik dengan memansuhkan dan meminda beberapa undang-undang. Sejauh manakah transformasi politik sesuai dengan prinsip demokrasi dan hak asasi itu relevan dengan pengundi luar bandar dan pedalaman di negara ini?


* Penulis ialah Pensyarah Kanan dan Penganalisis Politik Universiti Malaysia Sarawak. — bharian.com.my

  •