Ketawakan mereka jika tidak mampu lawan mereka!

Ketawakan mereka jika tidak mampu lawan mereka!

Saya dengan ini mengumumkan pernerbitan buku koleksi kartun kelima dan terbaru saya dalam bahasa Inggeris, "1 MOOLAYSIA". Buku-buku sebelum ini ialah "Even My Pen Has a Stand" (2011), "Cartoon-O-Phobia" (2010), "1 Funny Malaysia" (2009) dan "Cartoons On Tun…" (2005).

1 Funny Malaysia diharam kerajaan atas alasan kandungannya "menggugat keselamatan awam", manakala Cartoon-O-Phobia disiasat di bawah Akta Hasutan dan saya juga telah ditangkap di bawah akta yang sama. Judul "1 MOOLAYSIA" dipilih kerana isu lembu yang hangat diperkatakan di Malaysia sekarang ini.

"1 MOOLAYSIA" menampilkan karya-karya yang disiarkan oleh laman web Malaysiakini dari Julai 2011 hingga Mac 2012 dan termasuk juga karya dari laman web antarabangsa, Cartoonmovement. Terdapat juga beberapa kartun yang belum disiar.

Ia mengenengahkan isu-isu yang gagal disentuh oleh kartunis-kartunis politik Malaysia seperti PM dan isterinya yang suka shopping, konspirasi terhadap Anwar Ibrahim, Altantuya, Scorpene, penyelewengan National Feedlot Corporation (NFL), rasisma, rasuah, penyalahgunaan dana awam, isu hak asasi, demonstrasi BERSIH, kehakiman, polis dan isu-isu politik Malaysia secara umum.

Turut disiar adalah kartun mengenai Wanita Pertama yang membeli-belah sakan di Perth, isu skandal lembu, isu hakim dibaling kasut, isu 901 dan isu "air mata buaya" PM.

Tekanan kerajaan menyebabkan saya menghadapi kesulitan untuk mencetak dan menjual buku-buku secara terbuka kerana banyak kilang dan pekedai menerima ugutan yang melibatkan penggantungan lesen jika terus mencetak atau menjual buku-buku saya. Manakala di mahkamah, saya telah kalah dalam kes mahkamah mencabar pengharaman buku 1 Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun melalui satu "penghakiman lucu" kerana hakim tidak mengambil kira hujah asas yang dikemuka peguam saya.

Kemudian saya memfail satu lagi kes mencabar kerajaan dan polis kerana tangkapan tidak sah pada September 2010 sebelum pelancaran Cartoon-O-Phobia, dan perbicaraan telah bermula dan akan bersambung pada 5 dan 6 April depan.

Apa juga keputusan mahkamah tidak akan melemahkan semangat saya untuk terus berkarya. "Saya akan melukis hingga ke titisan dakwat terakhir." Kerana itu, saya berharap sokongan dari pembaca dan peminat agar dapat membeli "1 Moolaysia" bagi membantu saya menghasilkan lebih banyak karya-karya kartun politik dalam rangka "Berjuang Melalui Kartun".

Dan saya mengajak semua rakyat Malaysia untuk tidak berdiam diri sebaliknya melakukan yang termampu dalam membongkar pekung dan kezaliman penguasa rakus. Paling kurang yang dapat anda lakukan ialah dengan cara berjenaka. "Jika anda tidak mampu lawan mereka, ketawakan mereka!"

"1 Moolaysia" dijual dengan harga RM25.00 senaskah dan ia boleh ditempah/dibeli secara online melalui website saya melalui link ini http://zunarcartoonist.com/

Acara penjualan langsung akan diadakan di Amcorp Mall, Petaling Jaya pada 24 dan 25 Mac depan dari jam 10 pagi hingga 5 petang. Pelancaran akan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar pada jam 2 petang 25 Mac di tempat yang sama.

LATAR BELAKANG

1. Pada 15 Februari lepas, Zunar mengadakan pameran solo bertema "To Fight Through Cartoons" selama sebulan di London.

2. Pada Julai tahun lepas, Rangkaian Hak Asasi Kartunis Antarabangsa (CRNI) memberi anugerah "Courage in Editorial Cartooning" (Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial) kepada Zunar.

3. Pada Oktober tahun lepas, Zunar dipilih menyertai program tiga bulan "Seni dan Penapisan" anjuran Yayasan BilbaoArte Sepanyol.

Baca: Pameran Kartun Zunar di London pada Februari 2012

*Zunar (gambar atas) atau nama asalnya Zulkiflee Anwar Ulhaque ialah kartunis politik Malaysia.