Dr Lo' Lo' Kritikal Dan Masih Menerima Rawatan

KUALA LUMPUR 17 JULAI : Ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo Mohd Ghazali kini masih menerima rawatan rapi di Hospital Selayang kerana derita penyakit barah dan penyebaran berita bahawa beliau meninggal dunia adalah tidak benar sama sekali.

Khabar angin tersebut turut dinafikan pimpinan tertinggi PAS yang hadir ke mesyuarat jawatankuasa kerja PAS hari ini.

"Itu hanya khabar angin, ia tidak benar," kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dipetik Harakahdaily.

Sejak tengah hari tadi, khabar angin mengatakan Lo' lo' yang juga AJK PAS Pusat itu meninggal dunia disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas atau SMS dan di laman sosial Facebook dan Twitter.

Bagaimanapun anaknya, Md Fawwaz Aminuddin ketika dihubungi pemberita menafikan perkara itu dan memaklumkan ibunya masih menerima rawatan.

Beliau juga meminta kepada orang ramai agar mendapatkan pengesahan dari ahli keluarganya terlebih dahulu sebelum menyebarkan sebarang berita berhubung keadaan semasa ibunya.

Penafian sama turut dibuat oleh pengendali laman Facebook dan Twitter ahli parlimen itu.

"Berita yang mengatakan bahawa DrLo'Lo' telah meninggal dunia adalah tidak benar. Doakan supaya beliau terus diberikan kekuatan dan rahmat Allah swt," tulisnya.

Dr Lo’ Lo’, 54, kini berada dalam keadaan kritikal kerana kanser yang dihadapinya dan kini dirawat di Hospital Selayang.

Dr Lo'Lo juga adalah anak perempuan kepada bekas mufti Perak, Datuk Mohd Ghazali Abdullah.

Beliau sangat aktif dalam Dewan Muslimat PAS tetapi sejak 8 Mac 2008 dan banyak menumpukan perhatiannya kepada parlimen Tititwangsa, yang dimenanginya apabila menewaskan calon Barisan Nasional(BN), Aziz Jamaluddin Mohd Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

No comments: