Bersih Beralih Ke Stadium (kemaskini)

KUALA LUMPUR 5 JULAI : BERSIH 2.0 kini akan diadakan di sebuah stadium atas sebab- sebab keselamatan, selaras dengan nasihat Yang DiPertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang berkenaan menemui penganjur perhimpunan aman itu di Istana Negara petang tadi.
Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenavasan berkata pihaknya akan berkerjasama dengan kerajaan untuk memilih stadium yang sesuai bagi mengadakan perhimpunan itu yang dijangka membabitkan lebih 100 ribu peserta.

"Kita telah maklumkan Tuanku yang kita menerima cadangan kerajaan untuk mengadakan perhimpunan di dalam stadium. Oleh yang demikian perhimpunan jalanan tidak akan berlangsung," kata beliau.
Turut hadir bersama Ambiga menghadap Tuanku Mizan adalah Sastarawan Negara A.Samad Said dan Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin selaku ahli jawatankuasa penganjur Bersih 2.0.
Ambiga meminta semua pihak khususnya mereka yang menyokong perhimpunan Bersih 2.0 untuk memberi kerjasama dengan perkembangan terbaru ini kerana “ia adalah langkah yang terbaik buat masa sekarang.”

"Ya, atas pelbagai alasan kami rasa ini adalah jalan terbaik memandangkan kerajaan telah menawarkan kami stadium, kami akan teruskan di stadium.

"Itu yang kita akan suruh mereka buat di sebab soal keselamatan," tambah beliau lagi.
Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak sebelum ini mengecam hebat hasrat Bersih 2.0 untuk berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi menyampaikan memorandum kepada Istana Negara bagi menuntut pilihanraya umum adil dan telus.
Perhimpunan itu disokong oleh parti- parti pembangkang namun ditolak oleh Barisan Nasional yang mendakwa tidak ada sebarang isu mengenai kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
BN menyifatkan perhimpunan itu sebagai demostrasi jalanan yang ingin digunakan oleh pembangkang untuk mengguling pemerintah. Tuduhan itu dinafi dengan keras oleh Pakatan Rakyat dan penganjur Bersih 2.0.
Susulan kecaman BN, polis menahan lebih 150 200 orang, kebanyakkannya hanya kerana memakai baju berlogo Bersih 2.0.

Sementara enam yang lain ditahan di bawah Ordinan Darurat yang menetapkan penahanan tanpa perbicaraan.

Polis turut mendakwa pihak tertentu mahu menggunakan perhimpunan itu untuk kononnya menghidupkan semula fahaman Komunis.

Masjid- masjid di Kuala Lumpur dan Putrajaya pula diwajib menyampaikan Khutbah Jumaat yang melabelkan penganjur Bersih 2.0 sebagai pelampau yang sanggup mencederakan anggota pasukan keselamatan.

Keadaan yang tegang itu akhirnya reda dengan campurtangan Yang diPertuan Agong kelarin yang menggesa penganjur Bersih mengadakan dialog dengan kerajaan dan membatalkan perarakan itu, sungguhpun niatnya baik.

Butiran baru penganjuran majlis itu akan diumumkan malam ini.