Umno takut hilang kuasa jika pilihan raya adil, kata Anwar

June 12, 2011

KUALA LUMPUR, 12 Jun — Datuk Seri Anwar Ibrahim menuduh Umno takut untuk mengadakan pilihan raya bebas dan adil ketika spekulasi mengenai pilihan raya umum ke-13 akan diadakan dalam setahun ini semakin meningkat.

Anwar melahirkan pendirian ini ketika barisan pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan membuat persiapan untuk mengadakan Himpunan Bersih 2.0 awal bulan depan.

Media milik Umno dan pemimpin Umno-BN mengkritik penganjuran himpunan itu.

“Mengapa tidak Umno (mahu) mengadakan pilihan raya bebas dan adil?” kata Anwar pada satu ceramah di Brickfields di sini hari ini.

“Jika mereka mengadakan pilihan raya yang adil dan bebas, mereka bimbang akan kalah,” kata Ketua Umum Pakatan Rakyat ini.

Anwar menuduh media yang dikawal kerajaan mewakili persekitaran “yang tidak adil dan rasuah”.

Beliau juga menekankan bahawa rakyat hanya mahukan hak-hak yang termaktub di bawah perlembagaan untuk merasai pilihan raya yang adil dan bebas.

“Kini pilihan raya tidak adil dan tidak bebas,” kata Ketua Umum PKR ini.

“Kami tidak minta undi tambahan bagi kaum India, keistimewaan tambahan bagi orang Melayu. Kami hanya menuntut apa yang dijanjikan oleh negara (bagi setiap rakyat),” katanya lagi.

Dalam ucapannya Anwar juga mengecam Barisan Nasional (BN) kerana menghalang Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan daripada memasuki Sarawak sebelum pilihan raya negeri April lalu.

Katanya, Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan ada mengundang beliau untuk sama-sama memantau pilihan raya umum di negara itu hari ini.

“Beliau yakin adanya pilihan raya bebas dan adil (di Turki). Di sini, bukan sahaja pihak luar, ketua Bersih juga tidak dibenarkan memantau pilihan raya. Bermakna ada sesuatu untuk disembunyikan,” kata Anwar.