Belumpun pertikaian kilangan perlombongan emas menggunakan cyanide di Raub dan loji pemprosesan rare earth di Gebeng melabuh tirai, rakyat Pahang di Kuala Lipis kini pula menyambut kemunculan sebuah kilang perlombongan yang boleh menghasilkan sisa toksik. Kajian Penilaian Awal Kesan Alam Sekitar (EIA, Environmental Impact Assessment) terhadap kilang perlombongan emas Selinsing telah diluluskan pada tahun 2008, malah kilang itu telah mula menggunakan cyanide dalam proses perlombongan emas sejak Februari 2010.
Wartawan MerdekaReview menemui laporan EIA ini secara kebetulan ketika cuba memuat turun laporan EIA loji pemprosesan rare earth di Gebeng, dari laman Jabatan Alam Sekitar. Projek perlombongan emas ini sama dengan kilang perlombongan emas Raub-Australia Gold Mine di Bukit Koman, menggunakan cara yang kontroversial bernama "carbon in leach" dalam proses perlombongannya - iaitu memproses semula bijih yang telah dilombong dengan cara tradisional sebelum itu dengan sejenis bahan toksik bernama cyanide.
Cyanide mempunyai fungsi untuk menambah hasil perlombongan emas. Sejak tahun 1960-an, pelombong emas telah menggunakan cyanide untuk memproses bijih terpakai yang masih mempunyai kandungan emas yang tinggi. Namun demikian, cyanide adalah bahan toksik yang mengancam alam sekitar dan kesihatan manusia. Sekurang-kurangnya sembilan tragedi pembocoran cyanide pernah berlaku di dunia sehingga hari ini. Justeru itu, cara "carbon in leach" ini dikritik hebat oleh pencinta alam.
Penduduk Bukit Koman bangkit menentang apabila mengetahui bahawa Raub-Australia Gold Mine yang dimiliki Peninsular Gold Limited mendapat kelulusan untuk melombong secara carbon in leach pada Ogos 2006.
Menurut EIA Selinsing Gold Mine, pemaju projek perlombongan emas ini adalah Selinsing Gold Mine Manager Sdn Bhd, dimiliki Monument Mining Bhd yang mana syarikat induknya berada di British Columbia.
Projek ini bertapak di mukim Ulu Jelai, berada di luar 35km, barat laut dari Kuala Lipis; 55km dari pusat bandar Raub. Tanah ini masih tanah pertanian untuk penanaman kelapa sawit dan getah, hutan sekunder dan kawasan hutan simpan Hulu Jelai. Kawasan perumahan yang terdekat adalah Kampung Perpindahan Banjir Kuala Medang, 1,200 meter dari tapak projek.
Selain itu, jalan utama ke kawasan perlombongan adalah Raub - Cheroh - Kuala Medang.
Wujudkan peluang pekerjaan
Menurut EIA yang disediakan syarikat perunding, SBA Consultants, projek ini bertapak di tanah yang keluasannya 898 hektar (2,200 ekar), dan fasa pembangunan pertamanya melibatkan keluasan 28.3 hektar (70 ekar). Menurut laporan, tujuan projek ini adalah untuk menerokai kawasan perlombongan itu sepenuhnya menggunakan teknologi moden. Ini kerana bijih yang dilombong dengan cara tradisional masih mengandungi emas. Dengan teknologi ini, Pahang akan menemui emas yang lebih banyak pada masa depan, seterusnya mewujudkan lebih peluang pekerjaan kepada penduduk di sekitar pekan tersebut.
Menurut laporan tersebut, projek ini sejajar dengan Industrial Master Plan negara kita, kerana bakal merangsang pembangunan ekonomi kawasan tersebut. EIA di negara kita biasanya dikemukakan oleh syarikat penasihat yang dilantik pemaju, dan bukannya dijalankan oleh pegawai dari Jabatan Alam Sekitar. Keadaan ini selalu mencungkil keraguan bahawa laporan tersebut memihak kepada pemaju.
Dalam EIA yang hanya mempunyai 12 muka surat ini, istilah "carbon in leach" dan "cyanide" hanya muncul sekali. "Cyanide" hanya diselit dalam bahagian pemprosesan, iaitu cyanide detoxification. Laporan tidak mengulas secara terperinci bahayanya bahan toksik ini, malah tidak mengulas secara terperinci proses "carbon in leach" dan pengendalian sisa bijih dan air.
Ketulan emas pertama
Laporan menganggarkan, "It is anticipated that the rate of mining achievable by the proposed mining scheme is about 35,000 tonne per month. Therefore, the operational life of the mine total throughput of 1,805,922 tonne can be estimated as 5 years inclusive of inclement weather, amendment in mining scheme etc."
Menurut pengenalan laman Monument, syarikatnya mengumumkan projek perlombongan emas ini pada Oktober 2008, dan mula melabur untuk pembinaan kilang di kawasan itu. Anggaran kos projek ini adalah USD 14juta. Pada Julai 2009, syarikatnya mula melombong, dan menghasilkan ketulan emas pertamanya dengan gravity circuit pada Oktober 2009. Kemudiannya, kemudahan untuk cara "carbon in leach" mula beroperasi pada Februari 2010.
Menurut EIA, projek tersebut bertapak di kawasan air Jelai, mempunyai tiga sungai, termasuk Sungai Kermoi, Sungai Merbau dan Sungai Selinsing. Kini, sungai tersebut tergolong sebagai kelas kedua dan ketiga, menurut Interim National Water Quality Standards dari Jabatan Alam Sekitar, iaitu sederhana dari paras pencemarannya.
Laporan ini tidak menyentuh bagaimana cyanide dan bahan kimia lain membawa kesan terhadap alam sekitar, sebaliknya membangkitkan masalah tanah runtuh, mendakan sungai, debu dan pencemaran udara; juga cadangan untuk mengurangkan pencemaran sedemikian.
Dalam kesimpulannya, syarikat penasihat SBA menganggap projek ini boleh dijalankan dari segi ekonomi dan persekitaran alam, berikutan hasil perlombongan yang lumayan, pasaran yang sedia ada dan perancangan yang sesuai dengan kawasan sekitarnya. Untuk ini, syarikat tersebut mencadangkan agar Jabatan Alam Sekitar meluluskan permohonan ini. Menurut maklumat dari laman Jabatan Alam Sekitar, EIA ini telah diluluskan pada tahun 2008.
Sumber gambar: http://www.monumentmining.com/main/?en&SelinsingGoldMineProject
*Chan Wei See ialah pemangku Ketua Pengarang MerdekaReview. Disedut, disunting dan diterjemah dari teks asal.