SEMUA HILANG KAT MALAYSIA....DARI ENJIN KAPAL TERBANG ...ORANG PUN HILANG

Orang hilang: Di mana 3,479 belum ditemui
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 8 Nov: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyerahkan memorandum mendesak pihak polis lebih agresif menyelesaikan kes orang hilang kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Parlimen hari ini.

Menurut Ketuanya, Nasrudin Hassan, statistik jumlah keseluruhan orang hilang di negara ini dari tahun 2007 hingga 2010 iaitu seramai 7,312 orang yang dilaporkan PDRM amat membimbangkan rakyat.

Daripada jumlah itu, seramai 3,653 orang yang telah ditemui manakala bakinya sejumlah 3,479 masih belum ditemui.

"Meskipun daripada jumlah yang ditemui tersebut lebih 95 peratus daripadanya dijumpai masih hidup, namun jumlah yang masih gagal ditemui menjadi titik persoalan yang besar.

"DPPP mendapati antara faktor utama kes kehilangan orang ini adalah disebabkan oleh masalah institusi kekeluargaan, masalah perhubungan di kalangan remaja, penculikan dan kelemahan pengawasan serta penyelesaian daripada PDRM," kata Nasrudin dalam sidang media di lobi Parlimen sebelum penyerahan memorandum berkenaan.

Beliau memberitahu, memorandum berkenaan mengandungi empat tuntutan dan cadangan tindakan daripada DPPP.

Salah satunya adalah mendesak pihak polis segera menubuhkan task force khas yang merangkumi beberapa agensi kerajaan seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Ikatan Relawan Masyarakat (Rela) termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, institusi media, parti-parti politik dan sukarelawan.

"Penubuhan task force ini adalah sebagai satu komitmen bersama untuk terus menggerakkan usaha mencari orang-orang yang masih lagi belum dijumpai.

"Ia juga sewajarnya dapat mewujudkan satu pelan bertindak bersama dalam tempoh masa tertentu bagi memastikan ia mencapai matlamat yang disasarkan secara efisyen dan efektif," katanya lagi.

DPPP juga mendesak kerajaan agar dapat menjalankan satu kajian yang komprehensif untuk mengenal pasti faktor dan motif kes orang hilang yang terlalu banyak berlaku dalam negara kerana ia dikhuatiri ada kena mengena dengan kes penculikan, pembunuhan dan pemerdagangan orang yang sedang aktif bergerak di negara ini.

Selain itu, Nasrudin berkata, DPPP turut menggesa kerajaan dan pihak polis meningkatkan mutu perkhidmatan terbaik agar kes-kes yang masih belum dapat diselesaikan boleh ditangani dengan lebih cepat dan berkesan.

"Berdasarkan kepada penguatkuasaan undang-undang, pihak kerajaan diharapkan agar dapat mengkaji semula beberapa peruntukan sekiranya ia melibatkan isu-isu jenayah seperti penculikan atau pemerdagangan manusia. Ini bagi memastikan hukuman yang setimpal dapat dikenakan ke atas mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Dalam pada itu, DPPP akan melancarkan kempen besar-besaran di seluruh negara untuk menyebarkan maklumat dan memberikan kesedaran kepada masyarakat berhubung kes ini sebagai medium pengesanan yang efektif dan sistematik.

"Antara bahan kempen yang akan dilakaukan seperti penerbitan bahan bercetak, pembinaan laman web dan pemantauan berkala di kawasan-kawasan panas yang telah dikenal pasti," katanya.

DPPP juga, katanya akan menubuhkan Pusat Aduan Rakyat bagi memudahkan medium pengantara dan melicinkan sistem penyampaian maklumat selain menjalinkan kerjasama di antara Jabatan Amal DPPP dan PDRM.