Hina Mahkamah, Karpal Fail Dakwaan
Friday, 16 April 2010 3:52 PMKUALA LUMPUR : "Dia pembohong. Dia menipu pada inkues".
Berikutan kenyataan itu, satu permohonan dakwaan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz, telah difailkan Karpal Singh hari ini bagi mendakwa beliau menghina mahkamah kerana melabelkan pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand sebagai 'pembohong'.
Permohonan itu dibuat mengikut Item 26 Akta Mahkamah Rendah 1948 berhubung inkues Teoh Beng Hock.
Usul supaya Nazri dikenakan tindakan kerana menghina mahkamah disokong oleh affidavit yang difailkan oleh Teoh Meng Kee, yang merupakan abang Beng Hock.
Permohonan bagi mendapatkan perintah itu akan didengar di Mahkamah Koroner selepas Selasa depan.
Karpal dipetik berkata, sudah tiba masanya bagi Nazri dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana beliau telah menganggu kelancaran perbicaraan inkues itu.
"Ini boleh dilihat sebagai percubaan oleh eksekutif bagi mengenakan tekanan terhadap perbicaraan yang sedang berlangsung,” katanya lagi.
Nazri melabelkan Pornthip sebagai pembohong selepas pakar patologi itu mendakwa dia menghadapi 'tekanan politik' daripada kerajaan Malaysia setelah terbabit dengan inkues itu.
Pornthip dijadualkan memberi keterangannya pada 20 April ini dan dijangka akan disoal mengenai pengamatannya terhadap bedah siasat kedua yang dijalankan ke atas mayat mendiang Teoh.