RAYUAN DSAI DI DENGAR 19 MAC INI

Rayuan Anwar minta hakim tarik diri didengar 19 Mac ini

KUALA LUMPUR 4 Mac - Rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menarik diri daripada perbicaraan kes liwat yang dihadapinya akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 19 Mac ini.

Menurut kenyataan akhbar yang dihantar oleh peguam Anwar, Sankara Nair melalui e-mel kepada pihak media hari ini, beliau dimaklumkan mengenai tarikh itu melalui surat yang diterima daripada Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Emelia Kaswati Mohd. Khalid, semalam.

Pada 19 Februari lalu, Ketua Pembangkang itu memfailkan notis rayuan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mohamad Zabidin menolak permohonannya supaya menarik diri daripada terus mendengar kes liwat tersebut.

Dalam keputusan sehari sebelum itu, Hakim Mohamad Zabidin menyatakan tidak ada sebab yang membolehkannya menarik diri daripada terus mendengar kes tersebut.

"Sekiranya saya menarik diri dalam keadaan demikian, ini bermakna saya lari daripada tanggungjawab saya sebagai seorang hakim.

"Seseorang hakim yang telah mengangkat sumpah jawatan sudah semestinya tidak boleh mengelak diri daripada menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepadanya," katanya.

Hakim Mohamad Zabidin turut berkata, tuduhan peguam bela utama Anwar, Karpal Singh bahawa beliau tidak bercakap benar dan berbohong semasa menolak permohonan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu terhadap Utusan Malaysia, adalah tidak benar.

Pada 8 Februari lalu, Anwar mengemukakan permohonan agar hakim tersebut menarik diri atas dakwaan berat sebelah kerana enggan mengambil tindakan menghina mahkamah dan memberi amaran kepada Utusan Malaysia berhubung laporan serta gambar yang tersiar di akhbar itu.

Anwar, 63, didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara pukul 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Mohd. Saiful Bukhari telah selesai memberi keterangan pada peringkat pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan selama tiga hari mulai 3 Februari lalu, selepas kes itu tertangguh sejak 1 Julai tahun lalu.

Bagaimanapun belum sempat saksi pendakwa pertama itu disoal balas oleh peguam bela Anwar, Ketua Pembangkang tersebut telah mengemukakan permohonan agar Hakim Mohamad Zabidin menarik diri daripada terus mendengar kes itu.

Berikutan itu, perbicaraan kes liwat terpaksa ditangguhkan sehingga 25 Mac ini untuk sebutan sementara menunggu rayuan tersebut selesai di Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, Nair dalam kenyataan akhbar tersebut menyatakan, mahkamah telah bertindak terlalu awal dalam menetapkan tarikh pendengaran rayuan walaupun pihaknya masih belum memfailkan petisyen rayuan.

Menurutnya, mengikut Peraturan-Peraturan Mahkamah Rayuan 1994, perayu mempunyai tempoh 10 hari untuk memfailkan petisyen rayuan selepas mendapat rekod rayuan dan selepas itu barulah Mahkamah Rayuan boleh menetapkan tarikh pendengarannya.

Dalam kes ini, katanya, rekod rayuan diterima dari Mahkamah Tinggi pada 1 Mac lalu dan pihaknya boleh memfailkan petisyen berkenaan sehingga 11 Mac ini.

No comments: