ADUN BUKIT SELAMBAU BERSUARA



Demokrasi Malaysia Makin Kabur – V. Sivakumar

Tuesday, 15 December 2009 2:04 PM Oleh Roziyah Mahamad


PERAK , 15 DISEMBER: Demokrasi yang diamalkan di Malaysia dilihat semakin kabur dan hampir buta. Prinsip-prinsip demokrasi dan kekuasaan rakyat semakin hilang taringnya. Hal ini dijelaskan Adun Tronoh, V. Sivakumar dalam ucapannya di kampong Gua Badak, Lenggong, semalam.


Menurut beliau, kaedah demokrasi telah dimanipulasi oleh Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan baru di Perak. BN juga katanya telah menggunakan kekerasan yang jelas bertentangan dengan demokrasi yang dipegang untuk kembali berkuasa di Perak. Hal ini dapat dilihat dengan jelas apabila BN menggadaikan demokrasi yang ada dengan merampas Perak secara paksa.


Beliau dalam ucapannya berkata, Kerajaan Pusat tidak mengadakan pilihanraya untuk mendapat mandate baru daripada rakyat sendiri. Keputusan seharusnya dilakukan oleh raykat yang bergelar pengundi dan bukannya wakil yang telah dipilih rakyat.


“Budaya ‘lompat katak’ adalah tidak sealiran dengan amalan demokrasi yang mengutamakan suara majoriti. Keputusan seharusnya dibuat oleh pengundi-pengundi dan bukannya wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat. Tindakan ‘lompat katak’ bukanlah hasrat pengundi-pengundi tersebut.


Itu adalah kemahuan wakil rakyat yang bertentangan dengan kemahuan pengundi di kawasan Behrang, Changkat Jering dan Jelapang. Pengundi di ketiga-tiga kawasan itu telah memilih wakil rakyat daripada parti-parti komponen Pakatan Rakyat. Mereka telah terang-terang menolak Barisan Nasional dalam pilihanraya yang lalu,” jelas Sivakumar.


Beliau sebagai berkata, tindakan wakil rakyat ‘lompat katak’ itu jelas tidak mempedulikan suara rakyat. Rakyat katanya apabila telah memilih Pakatan Rakyat dalam pilihanraya lalu jelas telah menolak BN. Ini merupakan suara majority rakyat yang jelas menolak kepimpinan BN.


Namun tunggak demokrasi yang telah dipegang sekian lama akhirnya dicabul oleh wakil rakyat yang ‘lompat katak’ ini. Amanah rakyat yang dipegang telah dihancurkan mereka. Hal ini bertentangan dengan amalan demokrasi yang asas iaitu ‘suara majoriti’ akan menang.


“Jika suara majoriti tidak lagi dihormati, maka sistem demokrasi akan terancam di negara ini. Perkara ini perlu diperbaiki atau diperbetulkan dengan segera. Dewan Negeri Perak perlu dibubarkan dengan serta-merta untuk memberi peluang kepada warga Perak memilih kerajaan baru.


Dengan cara ini, tidak lagi timbul isu kerajaan halal dan kerajaan haram di negeri Perak. Kemelut politik Perak dapat diselesaikan dan tumpuan boleh diberikan kepada kemajuan ekonomi dan kebajikan rakyat. Jika tidak, kemelut ini akan terus berpanjangan dan akhirnya tidak akan menguntungkan mana-mana pihak,” tegas Sivakumar.


Terdahulu, PAS menganjurkan ceramah politik ‘krisis Perak’ di Kampung Gua Badak, Lenggonglebih dari 1000 orang penyokong yang menghadiri ceramah tersebut. Turut hadir dalam ceramah ini adalah ADUN PAS Lenggong, Tuan Hajji Razman Zakaria, ADUN Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim dan ADUN Tronoh, V.Sivakumar .

No comments: