P. Pinang catat peningkatan mendadak penyakit malaria

17/12/2008 3:38pm


PULAU PINANG 17 Dis. — Pulau Pinang mencatatkan peningkatan mendadak penyakit malaria apabila 175 kes dilaporkan sejak Januari hingga November tahun ini berbanding hanya 54 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.


Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, jumlah itu menyaksikan peningkatan sebanyak 121 kes di mana penyumbang utama ialah warga asing.


“Menurut statistik Jabatan Kesihatan negeri, sebanyak 39 kes daripada 54 kes dikesan pada pekerja asing tahun lepas manakala sebanyak 153 kes daripada 175 kes dikesan pada golongan yang sama tahun ini,” katanya ketika berucap pada taklimat kesihatan berkaitan pekerja asing di sini, hari ini.


Beliau berkata jumlah itu tidak termasuk pendatang asing tanpa izin.


Katanya bagi penyakit tuberculosis (tibi) pula, ia menunjukkan penurunan apabila sebanyak 708 kes dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun ini berbanding 882 tahun lepas.
Lim berkata, keadaan itu membimbangkan memandangkan statistik Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menunjukkan seramai 2.5 juta orang iaitu 25 peratus daripada tenaga kerja di negara ini adalah pekerja asing.


Katanya, paling membimbangkan ialah warga asing yang bekerja secara tidak sah di negara ini kerana mereka tidak menjalani pemeriksaan kesihatan berbanding yang bekerja secara sah.
“Jabatan Imigresen menyatakan dari Januari hingga 30 September tahun ini, jumlah pendatang tanpa izin yang ditahan ialah seramai 55,618 orang,” katanya.


Beliau berkata, perangkaan MEF menunjukkan Malaysia terpaksa membelanjakan peruntukan yang besar iaitu RM578 juta setahun bagi kemudahan kesihatan untuk warga asing. -

No comments: