AKIM pilih bekas pemimpin PKR calon di KT

23/12/2008 5:41pm
PASIR PUTEH 23 Dis – Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) hari ini mengumumkan calonnya untuk pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari depan, iaitu seorang peniaga, Harun @ Ab. Rahman Mohamad.


Setiausaha Agung parti itu, Kapten (B) Mohd. Rosli Ghazali berkata, pemilihan Harun, 63, amat tepat kerana bekas Naib Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Terengganu itu adalah anak tempatan dari Pasir Panjang yang sudah dikenali umum.


``Calon kita ini pernah bertanding dalam pilihan raya umum lalu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk atas tiket Bebas pada 1974 tetapi kalah.
``Dia juga salah seorang pengasas AKIM termasuk di Terengganu," katanya pada sidang akhbar mengumumkan calon parti itu di sini hari ini.


Hadir sama Presiden AKIM, Kapten (B) Abdullah Sani Musa dan Jawatankuasa Parti peringkat negeri Terengganu dan Kelantan.
Mohd. Rosli berkata, penyertaan AKIM dalam pilhan raya kecil ini akan menjadikan pertandingan lebih sengit dan yakin mampu menewaskan calon BN dan Pas dengan mudah menerusi sokongan pengundi muda.


Beliau berkata, selain pernah memegang jawatan penting dalam PKR, Harun juga adalah Pesuruhjaya AKIM Terengganu yang tidak wajar diperlekehkan kewibawaannya dalam politik dan hubungannya dengan masyarakat setempat.
``Kita yakin akan memperoleh kemenangan meskipun ramai yang beranggapan ia hanya sia-sia,’’ katanya.


Beliau mendakwa AKIM mempunyai 20 cawangan dalam kawasan tersebut dengan keahlian hampir 3,000.
Menurutnya, manifesto parti dan isu kempen akan diumumkan selepas penamaan calon berasaskan tiga strategi yang masih menjadi 'rahsia' parti itu.
Sementara itu, Harun yakin tidak akan hilang wang pertaruhan kali ini kerana ia berbeza daripada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.


"AKIM boleh mendapatkan sokongan untuk menang biarpun tipis memandangkan Pas dan BN menghadapi krisis dalaman termasuk isu pemilihan calon dan pengundi boleh memilih parti ini sebagai alternatif," katanya.

No comments: