
FOTO BERITA: Majlis Perasmian Konvensyen Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan oleh Tuan Hj Khalid Abd. Samad Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan. Turut hadir Ir. Hj. Hayatul Kamil Termudi Timbalan Pengerusi serta Muhammad Faris Arriffin Ketua Pemuda di Hotel STEG Jalan Tiong Nam, Kuala Lumpur. 23hb Oktober 2026 (Jumaat)

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) diingatkan supaya tidak menjadikan politik sebagai medan mengejar jawatan, populariti atau kepentingan peribadi, sebaliknya memikul tanggungjawab besar membina masa depan negara.

Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Khalid Abdul Samad berkata, generasi muda perlu memahami bahawa kuasa politik merupakan amanah untuk mengurus kekayaan negara secara adil demi kesejahteraan rakyat.

“Perjuangan politik kita ini bukan perjuangan untuk nak dapatkan jawatan. Ianya bukan perjuangan untuk nak dapat populariti. Kita ada satu tugas nak selamatkan negara kita dan bangsa kita,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan di Hotel STEG, Jalan Tiong Nam, Kuala Lumpur, malam tadi.

Menurut Khalid, cabaran terbesar politik negara ketika ini ialah kemunculan kerjasama antara UMNO dan PAS yang didakwanya lebih mengutamakan usaha menumbangkan Pakatan Harapan (PH) berbanding menawarkan wawasan pembangunan negara.

Beliau menyifatkan kerjasama itu sebagai gabungan “politik sakau dan politik pukau”, yang menurutnya berpotensi merosakkan budaya politik serta mengaburkan pertimbangan rakyat terhadap prestasi sesebuah kerajaan.

Justeru, katanya, AMANAH perlu tampil membawa politik berteraskan prestasi, perkhidmatan, keadilan, kebajikan dan tadbir urus yang bersih.

Khalid turut mempertahankan kerjasama PH dengan DAP yang disifatkannya mempunyai persamaan prinsip, khususnya dalam aspek kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti.

“Kita dapat kuasa untuk kita nak uruskan kekayaan negara dengan adil, dengan baik, supaya dengan kekayaan negara itu rakyat dibangunkan, bukan kita yang jadi jutawan yang berbilion-bilion,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Pemuda AMANAH memperkukuh gerak kerja parti dan mendekati masyarakat bagi menangkis politik ketakutan serta sentimen perkauman.

“Politik bukan untuk berseronok. Kita ada tujuan yang lebih besar,” katanya sambil berharap Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan mampu memberikan sumbangan bermakna kepada pembangunan negara.

Turut hadir Timbalan Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Ir. Haji Hayatul Kamil Termudi, Naib Pengerusi Ustaz Asri Talib, Setiausaha AMANAH Wilayah Persekutuan Osman Md Idris serta Muhammad Faris Arriffin Ketua Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan


No comments:
Post a Comment