Malaysia tidak boleh terus terikat dengan pendekatan lapuk jika mahu melonjak ke tahap pembangunan lebih tinggi, sebaliknya perlu mempercepat pembaharuan, inovasi dan transformasi teknologi dalam sektor perindustrian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata daya cipta dan inovasi perlu menjadi kekuatan utama industri tempatan bagi memastikan syarikat Malaysia kekal berdaya saing ketika berdepan persaingan global.
Beliau berkata demikian ketika meraikan kejayaan syarikat tempatan menerusi Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026, yang mengiktiraf kecemerlangan, daya saing, inovasi dan ketahanan perniagaan.
“Jika kita mahu membawa Malaysia ke tahap pembangunan yang lebih tinggi, kita tidak boleh terus terikat dengan pendekatan lapuk.
“Sebaliknya, kita mesti berani melakukan pembaharuan dan memastikan setiap perancangan dilaksanakan dengan berkesan serta menghasilkan impak yang nyata,” katanya menerusi kenyataan.
Anwar berkata usaha memperkukuh industri negara perlu disokong pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), pendigitalan serta transformasi teknologi.
Menurutnya, pemain industri perlu pantas menyesuaikan diri dengan perubahan, meningkatkan produktiviti dan meneroka pendekatan baharu bagi memastikan perniagaan mereka terus berdaya saing.
Beliau turut menegaskan bahawa kemajuan sektor perindustrian tidak seharusnya diukur berdasarkan pertumbuhan perniagaan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada manfaat yang dirasai rakyat.
Antara hasil yang perlu diberi perhatian ialah pewujudan peluang pekerjaan berkualiti, pembangunan bakat berkemahiran tinggi dan peningkatan taraf hidup.
Anwar berharap kejayaan syarikat yang menerima pengiktirafan AKI 2026 dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak pembaharuan dalam industri tempatan, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam persaingan ekonomi global.

No comments:
Post a Comment